KUALA LUMPUR – Membuka peluang bekerja secara sah kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) boleh memberi nilai tambah kepada negara yang kekurangan tenaga kerja asing.
Bercakap kepada Scoop, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia pasti mewujudkan situasi ‘menang-menang’ apabila mengambil pelarian yang mempunyai kemahiran dan kelayakan untuk menampung keperluan tenaga kerja.
“MEF sememangnya menyokong inisiatif dan cadangan kerajaan ini. Negara kita memang kekurangan tenaga kerja di sektor-sektor tertentu.
“Jadi mereka (pelarian) sudah pun berada di negara ini, yang mana ada antara mereka yang mempunyai kemahiran, ada yang mempunyai kelayakan akademik dan punyai pengalaman dalam bidang tertentu.
“Menggunakan kepakaran dan pengalaman mereka sudah tentu memberi nilai tambah kepada kita.
“Daripada hanya membantu mereka menyediakan tempat berlindung di kem, adalah lebih baik kita tawarkan peluang untuk mereka menyumbang kepada negara ini, situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan bercadang menyediakan beberapa lagi bantuan sosial kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan dan UNHCR termasuk kebenaran bekerja secara sah di Malaysia.
Beliau berkata, perincian kepada kebenaran ini sedang diperhalusi mengambil kira syarat dan keperluan tenaga kerja mengikut sektor yang bersesuaian.
Katanya, kebenaran ini juga hanya akan dimuktamadkan selepas kesemua pelarian dan pemohon suaka yang berada di Malaysia sudah berdaftar dengan kerajaan.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, setiap manusia sewajarnya diberi layanan secara adil dalam apa jua situasi dihadapi terutama pelarian yang berdaftar dengan UNHCR.
“Membuat mereka berasa diperlukan adalah satu pemikiran yang bagus yang turut membantu dalam memastikan kesihatan mental dan kestabilan minda.
“Kita perlu memadankan kemahiran mereka dan sikap yang betul untuk pekerjaan yang tersedia,” katanya.
Dalam pada itu beliau bagaimanapun mengingatkan masyarakat supaya tidak keliru perbezaan antara pelarian di bawah UNHCR dan mereka dalam kalangan eknik Rohingya dari Myanmar.
“Mereka (Rohingya) adalah pendatang tanpa izin yang tiba ke negara ini menaiki bot yang mana bukan sebahagian program pelarian di bawah UNHCR.
“Berbeza dengan pelarian UN, mereka ini mempunyai dokumen dikeluarkan UNHCR, dan ramai yang masih menungggu untuk ditempatkan di negara lain (negara ketiga). Ramai yang berpelajaran, berkemahiran dan beradab,” katanya.
Berdasarkan statistik terbaharu dimaklumkan Zaliha di Dewan Rakyat Disember tahun lalu, seramai 191,832 pelarian dan pemohon suaka didaftarkan oleh pejabat UNHCR di Malaysia setakat September tahun lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, negara tertinggi ialah Myanmar seramai 168,813 orang atau 88 peratus diikuti Pakistan 5,755 (tiga peratus).
Yaman pula merekodkan 3,837 orang (dua peratus) manakala Afghanistan dan Somalia masing-masing lebih kurang 1,918 (satu peratus).
“Pelarian dan pemohon suaka berasal dari lain-lain negara merangkumi lima peratus daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka yang berada di Malaysia,” katanya. – 15 Februari 2025
Tamat