Pastikan rakyat tempatan tak terjejas sebelum buka peluang kerja kepada pelarian UNHCR: DPMM

Kerajaan juga harus mempunyai dasar yang jelas termasuk had jenis pekerjaan yang boleh dilakukan oleh pelarian dan sistem pemantauan berkesan

5:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan mengambil kira kepentingan pekerja tempatan sebelum membenarkan pelarian yang berdaftar dengan kerajaan dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerja secara sah di Malaysia.

Bercakap kepada Scoop, Setiausaha Agungnya, Abd Halim Husin berkata, kerajaan perlu memastikan bahawa pekerja tempatan tidak terjejas dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan.

“Pandangan kami terhadap cadangan ini mungkin lebih menekankan kepentingan rakyat tempatan serta keseimbangan dalam pasaran tenaga kerja.

“Jika kerajaan bercadang membenarkan pelarian UNHCR bekerja secara sah, ia mesti mengambil kira kepentingan pekerja tempatan, terutamanya dalam sektor yang mengalami persaingan tinggi seperti pembinaan, perladangan, dan perkhidmatan.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa pekerja tempatan tidak terjejas dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mempunyai dasar yang jelas termasuk had jenis pekerjaan yang boleh dilakukan oleh pelarian dan sistem pemantauan bagi memastikan mereka tidak mengambil alih peluang ekonomi rakyat tempatan.

“Selain itu, kebimbangan berkaitan keselamatan dan kawalan sempadan perlu ditangani dengan lebih ketat.

“Jika sistem pemantauan dan penguatkuasaan lemah, ia boleh mengundang risiko peningkatan pendatang asing tanpa izin serta masalah sosial yang lebih besar.

“Sebaliknya, jika pelaksanaan dasar ini dibuat dengan kawalan ketat, ia boleh membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor tertentu tanpa menjejaskan peluang rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan bercadang menyediakan beberapa lagi bantuan sosial kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan dan UNHCR termasuk kebenaran bekerja secara sah di Malaysia.

Beliau berkata, perincian kepada kebenaran ini sedang diperhalusi mengambil kira syarat dan keperluan tenaga kerja mengikut sektor yang bersesuaian.

Katanya, kebenaran ini juga hanya akan dimuktamadkan selepas kesemua pelarian dan pemohon suaka yang berada di Malaysia sudah berdaftar dengan kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) di Dewan Rakyat, bertanyakan sama ada pelarian yang diiktiraf UNHCR boleh dibenar bekerja secara sah sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.

“Namun demikian, berlandaskan dasar kemanusiaan, Malaysia sudah menghulurkan bantuan sosial kepada pelarian etnik Rohingya dari Myanmar, selain pelarian dari negara-negara lain,” katanya.

Sebelum ini seorang peguam dan pengamat isu Rohingya, Norman Fernandez berkata, tiada undang-undang membenarkan pelarian daripada mana-mana negara termasuk Rohingya dibenarkan bekerja di Malaysia kerana negara bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, perkara tersebut kerana status golongan itu berada di Malaysia adalah atas ihsan negara dengan syarat akan dipindahkan semula ke negara ketiga.

Katanya, sekiranya negara membenarkan pelarian Rohingya bekerja, ia akan mendorong lebih ramai etnik tersebut yang berada di kem pelarian di Bangladesh, Myanmar, Aceh dan Thailand untuk datang ke Malaysia atas alasan menetap dan bekerja secara sah.

“Jadi, cadangan untuk nak ambil pelarian Rohingya sebagai pekerja, patut ditolak. Tak perlu dipertimbangkan langsung, memang kita tak patut terima mereka.

“Kalau sudah ada dorongan seperti itu, jadi kita sudah menghantar mesej salah. Kita perlu mengambil kira daripada jumlah 192,000 pelarian dalam negara sehingga Disember 2024, pelarian Rohingya sebanyak 111,670 merupakan yang terbanyak berada di Malaysia,” katanya. – 15 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related