KUALA LUMPUR – Pengerusi Padiberas Nasional (Bernas) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta sebagai sokongan kepada usaha kerajaan untuk membela nasib pesawah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia adalah tambahan terhadap RM60 juta yang disalurkan Bernas kepada pesawah miskin, sebelum ini.
“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
“Insya-Allah, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu kerajaan bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 bagi setiap tan metrik kepada RM1,500 berkuat kuasa 16 Februari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan sebagainya.
Dalam pada itu, kata Anwar dalam memastikan penyelarasan harga lantai belian padi tidak membebankan rakyat, kerajaan turut memperuntukkan subsidi sebanyak RM150 juta kepada pengilang padi bagi mengekalkan harga jualan maksimum beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.
“Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah.
“Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.
“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara,” katanya. – 13 Februari, 2025