Pemilik jual lesen bazar Ramadan antara RM20,000 ke RM30,000, dakwa persatuan penjaja

Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mendakwa kegiatan itu kebanyakannya berlaku di Jalan Masjid India dan melibatkan sesama peniaga tanpa membabitkan mana-mana pihak dalam persatuan penjaja

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kegiatan menjual lesen bazar Ramadan kepada pihak ketiga dikesan sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu di ibu kota melibatkan harga RM20,000 hingga RM30,000, bergantung kepada lokasi yang strategik.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman ketika dihubungi Scoop berkata, kebanyakannya berlaku di Jalan Masjid India dan didakwa melibatkan sesama peniaga tanpa membabitkan mana-mana pihak dalam persatuan penjaja.

Penjualan tapak tersebut, katanya tidak melibatkan peniaga makanan dan juadah berbuka puasa sebaliknya jualan barang kering untuk persiapan hari raya termasuk baju raya, perhiasan dan songkok.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM) Datuk Seri Rosli Sulaiman (kiri) berkata DBKL boleh menetapkan hanya ahli keluarga boleh menjadi pembantu di tapak bazar Ramadan bagi membendung kegiatan jual lesen. – Gambar fail Scoop, 11 Februari, 2025

“Perkara ini (jualan tapak sesama peniaga) bukan perkara baharu, ia sudah lama berlaku sejak beberapa tahun lalu.

“Kegiatan ini dipercayai berlaku sesama peniaga yang menjual tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga yang mana boleh mencecah sehingga RM30,000,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpir (DBKL) membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan jika didapati ada peniaga memindahkan lesen itu kepada pihak ketiga.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, keadaan itu sudah berlarutan saban tahun apabila ejen-ejen ‘memakan’ komisyen yang besar.

Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.

Rosli dalam pada itu mendedahkan, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pihak ketiga akan meletakkan nama pemilik asal lesen bazar Ramadan sebagai pembantu gerai.

“Jadi, pihak penguatkuasa tidak boleh hidu dan tangkap kerana nama pemilik lesen masih tersenarai di tapak bazar itu meskipun hanya sebagai pembantu gerai.

“Dia hanya menjadi ‘tunggul’ sahaja, mendapat keuntungan dengan hasil jualan tapak kepada peniaga lain,’’ katanya.

Justeru, Rosli memberitahu persatuan mencadangkan kepada DBKL agar mengambil langkah dengan lebih ketat berhubung pemberian lesen bazar Ramadan dengan meletakkan syarat pembantu sesebuah gerai jualan itu perlu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan peniaga tersebut.

“Saya melihat perkara itu antara salah satu cara yang paling efektif untuk mengelakkan pemilik tapak menjual kepada pihak ketiga iaitu dengan melantik pembantu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan peniaga.

“Contohnya, kalau si kakak yang dapat tapak bazar itu, dia hanya boleh meletakkan nama adik beradik atau sesiapa sahaja yang bersaudara dengannya sebagai pembantu.

“Hanya mereka yang mempunyai hubungan persaudaraan boleh menguruskan perniagaan di tapak bazar terbabit.

“Dengan cara ini, mungkin kegiatan jual beli tapak bazar akan dapat dihentikan sejak sekian lama ia berlarutan. Saya juga ingin menegaskan kegiatan jual beli tapak bazar ini tidak melibatkan langsung mana-mana pihak dalam persatuan penjaja seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini,” katanya. – 11 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

No call with Trump? PM Anwar has better things to do: Nazri

Former envoy slams US obsession, says Malaysia shouldn’t grovel and should prioritise China, Russia, India, and Türkiye

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Budget 2025: Malaysia’s economy to grow 4.5-5.5% next year, MoF announces

Ministry says economy is boosted by the services sector, strong private sector expenditure and stable global trade

Related