KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang dirakamkan memukul seorang kanak-kanak perempuan sehingga tular di media sosial sejak semalam, telah ditahan polis.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengesahkan mengenai perkara berkenaan.
Beliau turut memberitahu, kanak-kanak perempuan tersebut telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pelindung Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) telah menghubungi pihak D11 PDRM (Polis Diraja Malaysia) semalam untuk mengambil tindakan segera dan suspek dalam video ini telah pun ditahan oleh pihak polis.
“Kanak-kanak perempuan telah dibawa oleh Pelindung ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kita doakan semoga semuanya dipermudahkan bagi kanak-kanak perempuan ini,’’ katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Sejak semalam, tular di media sosial mengenai seorang wanita memukul seorang kanak-kanak di sebuah kedai atau pasar raya dan video berdurasi kira-kira 48 saat itu dipercayai diperolehi daripada rakaman litar tertutup (CCTV).
Dalam rakaman berkenaan, wanita itu yang sedang mengendong seorang lagi anak, telah memukul dengan kuat sehingga kanak-kanak terbabit sehingga terjatuh dan terkena kerusi.
Sementara itu, laman Facebook IPD Arau memaklumkan kejadian tersebut berlaku di Pasar Borong Din Jejawi, Arau, Perlis. – 11 Februari, 2025