KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengehadkan peruntukan kuota belian padi setiap kilang di seluruh negara kepada maksimum 20,000 tan metrik sahaja bagi setiap musim bagi mengelak pengilang bumiputera gulung tikar akibat monopoli pengilang besar.
Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop berkata, daripada 250 kilang Bumiputera yang ada di negara ini, sekarang hanya tinggal sembilan sahaja yang beroperasi di seluruh negara.
Menurut Termizi, ia juga bagi membolehkan setiap kilang mendapat peluang belian padi yang sama rata, sekali gus membantu pengilang beras Bumiputera tersebut terus beroperasi.
“Sekarang tiada kuota ditetapkan, ada pengilang yang terima belian padi antara 40,000, 60,000 hingga 80,000 tan metrik. Itu yang menyebabkan kecelaruan dalam harga padi dan harga jualan beras.
“Apabila pengilang gergasi gagal mendapat belian padi yang mencukupi mereka mengupah broker untuk cari padi di tempat lain mengakibatkan berlaku pindahan belian padi termasuk antara negeri yang berleluasa tanpa had.
“Berlakulah persaingan harga yang tidak sihat, Iada beli padi pada harga lebih tinggi, ada kilang ambil pada harga RM1,800, ada yang RM2,000.
“Sedangkan di kawasan tersebut ada juga kilang padi kecil yang perlu berniaga, jadi bila kita hadkan paling maksimum iaitu 20,000 tan metrik semua kilang akan dapat sama rata,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini media tempatan melaporkan kilang padi bumiputera terbesar di Perlis, Kilang Dibuk Sdn Bhd yang beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dibuk Sdn Bhd yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis bagi menjual hasil tuaian mereka sudah tidak mampu lagi bertahan berikutan tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi di sebalik harga beras masih rendah.
Dalam pada itu, Termizi berkata cadangan berkenaan sudah beberapa kali dikemukakan kepada kerajaan namun tidak pernah mendapat maklum balas yang sepatutnya.
“Mereka hanya senyap sahaja, perkara ini sudah lebih 10 tahun dikemukakan. Kalau hari ini kerajaan tetapkan harga lantai baharu pun, bagi kami kalau tidak ada penguatkuasaan yang betul kepada semua pemain industri padi, mungkin masalah hanya selesai dalam tempoh terdekat sahaja bukan jangka masa panjang,” katanya.
Tambah beliau, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga wajar ditegur kerana gagal memainkan peranan untuk mengawal pembelian padi oleh broker dan monopoli pengilang besar.
“Kalau dahulu zaman Lembaga Padi dan Beras Negara boleh kawal, kenapa tidak Bernas, mereka dah memonopoli pengimportan beras daripada membeli padi, jadi perlu ada penguatkuasaan undang-undang yang telus dalam industri ini,” katanya.
Sementara itu Bendahari Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Muhamad Rafirdaus Abu Bakar, berkata banyak kilang padi Melayu terikat dengan pemborong dan peruncit bukan Bumiputera, yang menguasai sebahagian besar rangkaian pengedaran beras di Malaysia.
“Realitinya, kilang Melayu pun menjual beras kepada pemborong Cina. Mereka juga terpaksa mengambil modal daripada taikun-taikun besar ini, menyebabkan mereka terikat dengan harga yang ditentukan,” katanya.
“Satu daripada faktor utama yang menyebabkan kilang Melayu tidak dapat bersaing secara terbuka adalah permainan harga di pasaran.
“Sebagai contoh, Bernas membeli padi pada harga RM1,200 dengan menawarkan komisen lori yang murah. Ini menyebabkan ramai pengusaha tidak berminat menghantar padi kepada mereka, sama seperti yang berlaku kepada kilang Melayu lain,” katanya.
Selain itu, katanya, pusat belian padi yang dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) juga masih bergantung kepada kilang-kilang bukan Bumiputera, sekali gus menyukarkan pengilang kecil Bumiputera untuk bersaing.
“Ada kilang bukan Bumiputera sering membeli padi dengan harga lebih tinggi, sebelum melakukan pembungkusan semula (repackaging) dan menjualnya sebagai beras import pada harga lebih mahal.
“Inilah yang menyebabkan kilang Melayu semakin terhimpit. Mereka tidak mampu membeli padi pada harga tinggi kerana modal bukan datang daripada mereka sendiri.
“Sementara itu, kilang-kilang besar bukan Bumiputera membeli padi, membungkusnya semula dan menjualnya sebagai beras import, yang tidak tertakluk kepada harga siling,” katanya.
Menurutnya fenomena ini bukan sekadar menjejaskan kilang Melayu, malah turut memberi kesan kepada kilang bukan Bumiputera yang lebih kecil.
“Perkara ini sudah berlaku lebih 10 tahun dan hari ini, semakin banyak kilang kecil, tidak kira Melayu atau bukan Melayu, terpaksa gulung tikar kerana pasaran yang tidak seimbang,” katanya. – 10 Februari, 2025