15 tahanan Palestin yang dibebaskan Israel akan dihantar ke Malaysia

60 tahanan Palestin itu kini berada di Mesir, sementara menunggu dihantar ke empat negara terbabit

1:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR  Seramai 15 tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel, akan dihantar ke Malaysia sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Gaza.

Menurut agensi berita Xinhua, selain Malaysia, tiga negara lain ialah Turkiye, Qatar dan Pakistan dengan masing-masing akan menerima 15 tahanan daripada keseluruhan 60 orang.

Xinhua yang memetik Ketua Kelab Tahanan Palestin, Abdullah Zaghari, sebagai berkata, 60 tahanan itu kini berada di Mesir, sementara menunggu dihantar ke empat negara terbabit.

Perjanjian gencatan senjata itu bersetuju bahawa tahanan tersebut tidak dibebaskan ke Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.

Wisma Putra setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Pada 16 Ogos 2024, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza dengan pesakit dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).

Bagaimanapun tindakan berkenaan mendapat kritikan daripada segelintir pihak yang mempersoalkan langkah negara membawa masuk pesakit tersebut.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluahkan kekecewaan dengan tindakan segelintir pihak tertentu yang mempersoalkan dan mencerca langkah kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera parah untuk dirawat di Malaysia.

Langkah tersebut, kata Anwar merupakan satu tanggungjawab kecil yang boleh dilakukan Malaysia bagi membantu mereka yang menjadi mangsa kekejaman Zionis

Bagaimanapun selepas gencatan senjata dicapai, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata 127 rakyat Palestin berkenaan akan dihantar pulang dalam tempoh gencatan tersebut.

Sejak gencatan senjata berkuatkuasa pada 19 Januari lalu, Hamas telah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran untuk Israel membebaskan beratus-ratus tahanan Palestin dari penjaranya.

Dalam pada itu, Abdullah menambah, terdapat 70 tahanan Palestin yang kini ditempatkan di sebuah hotel di ibu kota pentadbiran baharu Mesir sementara menunggu proses penghantaran ke negara yang berkenaan.

“Perbincangan sedang berlangsung dengan negara lain bagi mencari penempatan untuk baki tahanan, dan rundingan juga dijalankan dengan Kaherah untuk menampung sebahagian daripada mereka yang mungkin dibebaskan dalam kumpulan seterusnya,” lapor Xinhua.

Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak sebagai perantara, mengumumkan dalam satu kenyataan bersama pada 15 Januari lalu bahawa Hamas dan Israel telah mencapai perjanjian gencatan senjata.

Sejak gencatan senjata berkuatkuasa pada 19 Januari lalu, Hamas telah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran untuk Israel membebaskan beratus-ratus tahanan Palestin dari penjaranya.

Laporan Times of Israel menyatakan Israel menetapkan syarat, rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan paling berat tidak dibebaskan ke Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.

Mesir bersetuju untuk menempatkan mereka buat sementara waktu. – 9 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Grab Malaysia teams up with 100 drivers, riders to bring CNY joy to the underprivileged

More than 300 people across charity homes, nursing care centres, PwD organisations receive ‘bai nian li wu’ during the visits

Related