KUALA LUMPUR – Seorang ahli akademik menyifatkan cadangan mengenai garis panduan berhubung penglibatan umat Islam dalam majlis perayaan atau program di rumah ibadat agama lain sebagai kegagalan menteri agama menjadi ‘team player’ dalam Kabinet.
Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abu Hafiz Salleh Hudin, perkara ini membebankan Perdana Menteri sedangkan garis panduan mengenai perkara itu sudah ada sebelum ini iaitu pada 2005 dan 2015.
Malah mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2017 telah memutuskan mengenai hukum penglibatan orang Islam dalam perayaan bukan Islam dalam konteks Malaysia.
Secara jelas, kata beliau, dalam fatwa Perlis menyatakan menghadiri majlis sambutan atau rumah terbuka bukan Islam yang tidak membabitkan upacara ritual agama tersebut dan sebagai memberikan penghormatan adalah dibenarkan.
Beliau memberitahu, logik mudah mana-mana orang Islam akan memahami apa yang melanggar akidah dan haram seperti melakukan ritual agama lain.
“Isu melibatkan hukum hakam adalah sakral (upacara suci) tetapi apa yang dilakukan oleh menteri agama ini adalah berbeza (melibatkan) iaitu isu pentadbiran dan tidak masuk akal.
“Perkara ini menjadi isu bagi pembuat dasar Islam dan bukan Islam kerana ia telah melanggar banyak isu pentadbiran. Dia (menteri agama) juga akui masih dalam perbincangan tetapi dimasukkan ke dalam rekod Parlimen sedangkan isu itu tidak dibawa ke Kabinet untuk dibincang serta diluluskan.
“Saya sebut secara terbuka ini kegagalan menteri agama jadi team player kepada Kabinet. Ini bukan kali pertama, dulu isu logo halal, Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah dan ini adalah kali ketiga, katanya menerusi klip video dalam akaun X.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri telah memutuskan tidak perlu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan tidak perlu disulitkan dan jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat.
Ia susulan cadangan garis panduan sebelum ini itu antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari depan
Menurut Abu Hafiz, apa yang menjadi kritikan ialah apabila jemputan itu perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti.
“Masalahnya pihak autoriti yang mana? Kalau nak buat berkumpulan selalunya perlu kebenaran daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia). Ia tak perlukan pihak berkuasa agama.
“Jika ia adalah pihak berkuasa agama Islam, maka ia akan jatuh kepada pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri kerana menteri dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) berada di persekutuan.
Abu Hafiz berkata beliau tidak menolak garis panduan dan tidak akan redha kepada perkara yang jelas kufur tetapi secara terbuka melawan menteri agama. – 8 Februari, 2025