KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri telah memutuskan tidak perlu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan tidak perlu disulitkan dan jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat.
Jelasnya, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
“Saya berpendapat tidak perlu kerana orang Islam tahu garis dia. Macam saya ke acara ini (tinjauan Thaipusam) saya bukan masuk upacara agama, Gobind Singh (Menteri Digital) dia sering ke masjid di kawasan dia tapi bukan upacara agama. Jadi kita biasa.
“Kita di Malaysia, Islam agama Persekutuan tapi negara (ini) pelbagai kaum pelbagai agama. Kalau nak pastikan negara ini aman, kena jaga semua pihak,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Batu Caves, menjelang Thaipusam yang akan disambut penganut Hindu pada Selasa ini.
Terdahulu, Jemaah Menteri mengingatkan setiap dasar yang dirangka berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam Jemaah perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Jemaah Menteri juga bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menghadiri lawatan ke Batu Caves kerana ia adalah upacara masyarakat India, bukannya upacara agama.
“Hari ini saya hadir upacara masyarakat India. Saya bukan masuk upacara agama. Begitu juga kalau Tan Sri Nadarajah pergi ke kawasan masjid, majlis, kenduri dan sebagainya. Dia bukan pergi untuk upacara Islam tapi majlis.
“Saya rasa tak perlu nak bagi penjelasan, peraturan dan garis panduan tidak perlu. Yang perlu orang Islam jaga akidah dia, bahawa ada peraturanya, ada yang tak boleh dilanggar.
‘Tapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum tiada masalah,’’ katanya. – 7 Februari, 2025