KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri mengingatkan setiap dasar yang dirangka berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam Jemaah perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas kenyataan itu, mengambil kira perkara ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Jemaah Menteri bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
“Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut. Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
‘Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jakim telah mengambil inisiatif membangunkan garis
panduan tersebut,” kata kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, Jakim dilaporkan sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa, Na’im berkata garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.
Bagaimanapun cadangan berkenaan mendapat kritikan daripada sesetengan pihak yang meluahkan kebimbangan perlunya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara tersebut melibatkan umat Islam.
Kenyataan itu turut memberitahu, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
Perbincangan yang inklusif, katanya dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
“Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan
secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) yang akan dipengerusikan bersama dan dijadualkan bulan ini.
Ia akan mendengar pandangan segala pandangan ahli-ahli yang terdiri daripada 24 wakil penganut agama iaitu Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia. Kerajaan Madani menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. – 7 Februari, 2025
J