KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak menggesa tindakan diambil ke atas pempengaruh Malaysia yang berlakon mengenai kehilangan teman mereka di sebuah hutan di Bandung, Indonesia bagi menghasilkan kandungan media sosial.
Ini kerana, kata mereka, tindakan tersebut bukan sahaja memalukan negara malah menipu dan menyusahkan polis di Bandung yang menggerakkan operasi mengesan rakan mereka yang hilang itu.
Antara yang lantang bersuara ialah seorang ahli akademik, Abu Hafiz Saleh Hudin yang meminta supaya mereka ini ditahan mengikut proses hukuman yang sesuai di Indonesia.
“POLRI (Polisi Republik Indonesia), mohon tahan dan proses ikut hukum yg sesuai di Indonesia.
“Kalau perlu disimpan disana, inshaAllah, majoriti rakyat Malaysia tidak akan (ada) permasalahkan.
“Memalukan negara, lagi mahu menipu serta menyusahkan aparat kepolisian,’’ katanya.
Baru-baru ini, pempengaruh TikTok Malaysia, Ammar Mohd Nazhan dan Aras memaklumkan rakan mereka, Eyka telah hilang di sebuah hutan di Bandung, Indonesia ketika melakukan aktiviti paranormal.
Eyka, 22 tahun, kemudiannya ditemui kira-kira 10 malam semalam dan penemuannya dikongsi menerusi penstriman langsung di TikTok @Arasz sebelum ia tular.
Bagaimanapun sebuah portal Indonesia, KumparanNews dalam laporannya pada Khamis memberitahu siasatan polis mendapati laporan kehilangan itu adalah palsu.
Ketua Polis Panyileukan, Pesuruhjaya Kurnia, berkata berdasarkan keterangan kepada polis, pempengaruh terbabit memberitahu mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut di Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada Ahad lalu menerusi TikTok dengan cerita sensasi ‘pempengaruh Malaysia hilang selama 48 jam ketika membuat kandungan mengenai aktiviti paranormal’.
“Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman tegas terhadap penyebar berita palsu.
“Kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa meskipun sudah diberi kelulusan oleh pengurus wilayah setempat,” ujar Kurnia.
Menurut Kurnia, pempengaruh tersebut telah meminta maaf kepada polis dan membuat kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Kritikan keras turut diberikan oleh selebriti Caprice yang menggesa pihak berkuasa di Indonesia mengambil tindakan sekiranya ‘kehilangan’ itu adalah palsu.
Malah menerusi klip video yang memaparkan ‘penemuan’ Eyka, kata Caprice seolah-olah palsu.
“Talent agency yang ade manage a few talents (uruskan beberapa bakat) dalam video tu confirmkan its fake (mengesahkan ia palsu)… dah lah tak dapat bayaran? Betul lah orang lama selalu kata… bodo is free (percuma). Tapi jangan lah sampai borong semua,’’ katanya.
Manakala penerbit dan pengarah terkemuka tanah air, Michael Ang meminta Kementerian Komunikasi mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat berita palsu.
“Salam! Buat malu orang Malaysia aje. Please (tolong) buang dia orang ni kat Pulau Jerjak! Mak bapak dia orang tahu ke anak dia macam ni! Tiba masa Kementarian Komunikasi take action on (mengambil tindakan) orang-orang ngok diri bila buat fake news n hoax (berita palsu)! Idiots! (bodoh),’’ luahnya.
Manakala netizen pula meminta undang-undang tegas sebagai garis panduan kepada pencipta kandungan.
“Malaysia kena buat undang-undang yang tegas atau garis panduan untuk content creator ini supaya tidak terlalu melalut kemaruk nak perhatian ramai.
“Macam kes ini dah melibatkan maruah negara,’’ kata Hana Ghani dalam Facebook.
Manakala seorang netizan dikenali sebagai SF SF meminta rakyat Malaysia membuat laporan polis beramai-ramai terhadap pempengaruh berkenaan.
“Ini menipu peringkat antarabangsa,’’ katanya. – 7 Februari, 2025