Op Sky: 3 selebriti beri keterangan kepada SPRM

Siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat perunding kewangan

12:51 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Tiga selebriti, termasuk penyanyi terkenal memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Dalam sidang media di sini hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ketiga-tiga individu itu dipanggil pada 10 pagi ini untuk membantu siasatan SPRM dalam pelbagai aspek penyiasatan.

“Sekarang ini tiga selebriti kita panggil, saya rasa mereka telah hadir beri keterangan kepada pegawai saya,” katanya.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

SPRM, dalam operasi baru-baru ini, menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan melalui Op Sky.

Mengenai pembayaran kepada selebriti, Azam berkata pihaknya turut menyiasat jumlah bayaran tersebut kerana wujud kemusykilan mengenai pembayaran yang dibuat. 

“Kita ingin lihat, kalau sekiranya begitu banyak pelaburan dibuat untuk membayar selebriti berkenaan, ini akan menimbulkan juga satu kemusykilan kepada kami sebagai pegawai penyiasat,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan terhadap akaun selebriti, Azam menegaskan bahawa SPRM tidak membekukan akaun individu tersebut, sebaliknya hanya akaun syarikat yang terlibat dibekukan.

Setakat ini, saya dimaklumkan bahawa kira-kira RM18 juta telah dibekukan dan wang ini berada dalam akaun syarikat berkenaan,” katanya.

Selain itu, Azam turut mendedahkan bahawa syarikat perunding kewangan terbabit dipercayai telah meminta peminjam untuk melaburkan semula wang mereka ke dalam syarikat tersebut setelah pinjaman diluluskan.

Dalam siasatan kes Op Sky,  Azam berkata bahawa satu lagi modus operandi yang dikenal pasti adalah syarikat perunding kewangan yang menggalakkan peminjam, kebanyakannya terdiri daripada pegawai kerajaan, untuk melaburkan semula wang pinjaman mereka ke dalam syarikat tersebut.

“Ini satu lagi perkara yang perlu kita siasat untuk memastikan jika syarikat ini terlibat dalam kesalahan lain seperti pengambilan deposit secara haram,” katanya.

Operasi Op Sky yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam. Kesemua mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam operasi tersebut, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan sebanyak 98 akaun bank yang melibatkan lebih RM17 juta. – 6 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

No more political appointees: New Malaysian ambassador to US a career diplomat, says Tok Mat

The US has no objections with the nominee who is awaiting the Yang di-Pertuan Agong's consent

Related