KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menasihatkan golongan artis dan selebriti tidak gelap mata dengan tawaran lumayan sebaliknya perlu menyiasat latar belakang (background check) sesebuah syarikat atau produk sebelum bersetuju menjadi duta atau jurucakap.
Bercakap kepada Scoop, Presiden Seniman Zed Zaidi berkata, ia merupakan perkara pertama perlu dilakukan bagi mengekang golongan selebriti menjadi ‘mangsa’ kepada syarikat yang diragui aktiviti perniagaannya.
“Bila terima sebarang tawaran menjadi duta atau jurucakap kepada mana-mana syarikat atau produk, Seniman sarankan perkara pertama yang perlu dilakukan mereka adalah buat ‘background check’ syarikat berkenaan dulu sama ada aktiviti perniagaan mereka ‘legit’ (sah) atau tidak.
“Jangan mudah ‘terpedaya’ dengan bayaran lumayan yang ditawarkan, sebab macam-macam kes scam dan ‘money laundering’ berleluasa sekarang.
“Kalau nak minta bantuan Seniman untuk ‘background check’ (mana-mana syarikat) pun dialu-alukan sebab ramai sedia maklum persatuan memang bekerjasama rapat dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya.
Menurut Zed lagi, adalah tidak berbaloi ‘mengorbankan’ reputasi dan imej baik yang dibina selama bertahun-tahun dalam bidang seni semata-mata ‘mengejar’ tawaran lumayan tersebut yang akhirnya mungkin boleh ‘memusnahkan’ kerjaya seseorang selebriti itu.
“Artis-artis yang terlibat ini mungkin mangsa keadaan sebab mereka pun bekerja (sebagai duta)… takkan mereka sanggup untuk mengorbankan imej baik selama bertahun-tahun sehingga terpalit dengan kontroversi yang mungkin boleh memusnahkan kerjaya mereka.
“Disebabkan itu, Seniman sarankan untuk mereka sentiasa berwaspada dan rajin membuat background check sebelum bersetuju dalam apa-apa tawaran yang diberikan.
“Mungkin selepas ini Seniman perlu membuat satu garis panduan senarai syarikat-syarikat yang tidak diragui aktiviti perniagaannya dan berkongsikannya dengan golongan selebriti agar mereka tidak mudah terpedaya,” katanya.
Sementara itu, pelakon Bell Ngasri pula meminta orang ramai tidak menyalahkan golongan selebriti sebaliknya bersimpati dengan nasib rakan artis yang secara tidak langsung kini menjadi pemerhatian pihak berkuasa disebabkan mempunyai hubung kait dengan syarikat yang melantik mereka sebagai duta.
“Kalau boleh janganlah salahkan artis-artis berkenaan, mungkin mereka tidak tahu tentang hal itu, mereka hanya diberi kerja dan menjalankan tanggungjawab. Cuma kesilapannya mungkin mereka tidak pantau secara menyeluruh tentang tawaran yang diberikan itu.
“Saya bersimpati sebab ada yang otai (artis senior), kadang-kadang mereka ini mungkin tiada (individu yang boleh dirujuk) untuk pantau (buat background check) bila terima tawaran.
“Apa yang boleh saya katakan, kena lebih berhati-hati selepas ini… kadang-kadang tawaran itu memang dahsyat dan lumayan tapi akhirnya jadi macam ini pula,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez menasihatkan selebriti agar lebih berhati-hati dan membuat semakan teliti sebelum menerima sebarang tawaran terutamanya jika bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi atau luar biasa.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan mereka dieksploitasi oleh perniagaan yang menyalahi undang-undang.
“Sebagai langkah pencegahan, artis disaran untuk mendapatkan nasihat profesional jika perlu terutama dalam hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan. Jangan terburu-buru menandatangani sebarang kontrak tanpa memahami implikasinya.
“Saya percaya bahawa artis atau selebriti yang terlibat mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi oleh pihak sindiket. Kebanyakan mereka menerima tawaran ini kerana selain daripada membuat persembahan, menjadi duta produk atau menerima tajaan, ia juga merupakan sumber pendapatan utama mereka.
“Namun, saya percaya modus operandi sindiket sebegini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah menjalankan perniagaan sah di sisi undang-undang menyebabkan para artis bersetuju menerima tawaran yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan beberapa selebriti dan artis tempatan yang dikenal pasti mempromosikan perkhidmatan syarikat perunding kewangan sehingga menerima bayaran RM400,000 akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Op Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen manakala 98 akaun bank telah dibekukan dengan nilai berjumlah lebih RM17 juta. – 4 Februari, 2025