Pasca banjir Kelantan: Daripada 400 sekarang tinggal 320 kucing: Pengasas Rumah Prihatin

Kebanyakan kucing yang mati bukan disebabkan ditenggelami banjir sebaliknya keadaan kesihatan serta cuaca sejuk musim tengkujuh

8:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Daripada 400 ekor, kini hanya tinggal 320 kucing yang berjaya diselamatkan rumah perlindungan kucing, Rumah Prihatin Haiwan Kelantan selepas kawasan tersebut ditenggelami banjir besar yang melanda negeri itu pada November lalu.

Berpusat di Pasir Mas, pengasas dan juga pengerusi Rumah Prihatin Haiwan Kelantan, Khairul Nizam Mohd Ariffin, 42, berkata kebanyakan kucing yang mati bukan disebabkan ditenggelami banjir sebaliknya keadaan kesihatan serta cuaca sejuk musim tengkujuh.

“Daripada 400 ekor kini hanya tinggal 320 ekor dalam jagaan Rumah Prihatin Haiwan Kelantan.

“Dalam 80 yang dah tiada itu, sebanyak 37 mati disebabkan keadaan kesihatan mereka selain tidak tahan cuaca sejuk pada ketika itu.

“Manakala yang selebihnya, masih tidak dapat dikesan kerana ketika sebelum banjir kami memang bebaskan sebahagian mereka di sekitar kawasan rumah perlindungan. Selepas keadaan dah kembali surut, ada jiran memaklumkan kepada saya, ada beberapa ekor kucing ‘sesat’ di rumah mereka dan daripada situ, saya dapat kumpul balik mana-mana kucing yang MIA (missing in action) sebelum ini,” katanya kepada Scoop.

Berkongsi lebih lanjut, Khairul Nizam berkata pasca banjir, sebanyak RM8,000 dibelanjakan untuk kos baik pulih Rumah Prihatin yang sudah kembali diduduki ‘si bulus’ sejak pertengahan Januari lalu.

“Selepas banjir, kami ambil masa dalam tempoh hampir dua bulan untuk kerja baik pulih termasuk menukar semua kayu-kayu plywood yang rosak ditenggelami air, menelan belanja sebanyak RM8,000.

“Alhamdulillah, kami banyak dapat bantuan daripada orang awam dan persendirian yang turut membantu dalam misi ini termasuk pelajar universiti bergotong-royong mengemas kawasan sekitar rumah perlindungan.

“Malah, ada juga orang persendirian dari Selangor yang turut bermurah hati menanggung perbelanjaan makanan ‘kibbles’ anak-anak kami (320 kucing) selama sebulan ini. Dengan bantuan seperti ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu mengurangkan kos operasi bulanan kami,” katanya.

Rumah Prihatin Kelantan memperuntukan sebanyak RM17,000 sebulan bagi kos operasi termasuk pembelian makanan, pasir serta pembayaran gaji kepada tiga petugas sepenuh masa yang menjaga kebajikan kucing-kucing terbiar yang berlindung di situ.

Menurut Khairul Nizam, mereka beroperasi seratus peratus menggunakan dana sumbangan daripada orang awam dan perseorangan.

“Kami memerlukan RM17,000 sebulan untuk kos operasi, sekiranya dana sumbangan tidak mencapai jumlah itu, kami lapan sukarelawan yang menubuhkan Rumah Prihatin ini akan ‘top up’ selebihnya dengan duit kami sendiri sebab kami masing-masing ada kerja hakiki yang lain.

“Kami tubuhkan rumah perlindungan ini pun disebabkan terlalu sayangkan kucing dan dalam masa sama ingin mengejar pahala akhirat dengan berbuat baik sesama binatang.

“Saya sebenarnya sedih sebab sebelum tertubuhnya Rumah Prihatin, saya selalu tengok orang buang kucing mereka di pasar-pasar berhampiran dan daripada situ, saya dan kawan-kawan ambil inisiatif tubuhkan rumah perlindungan untuk si comel ini semua berteduh dan menumpang kasih,” katanya yang turut membela 45 ekor kucing di rumahnya.

Setiap bulan, Rumah Prihatin memerlukan bekalan makanan ‘kibbles’ sebanyak 500 kilogram dan dua tan pasir untuk keperluan si comel.

Mengambil iktibar di atas kejadian bah besar di Pasir Mas tahun lalu, Khairul Nizam berkata mereka telah merangka langkah mitigasi yang mana akan memindahkan semua kucing-kucing di bawah jagaan ke sebuah lagi tapak rumah perlindungan yang dikenali sebagai Rumah Buruk Haiwan Kelantan yang terletak tidak jauh dari Rumah Prihatin.

Rumah Buruk itu merupakan bangunan lama yang digunakan untuk menempatkan kucing-kucing tersebut pada November lalu disebabkan kedudukannya lokasinya yang sedikit tinggi berbanding Rumah Prihatin.

“Masa banjir itu kami pindahkan kucing-kucing itu ke Rumah Buruk, kami panggil Rumah Buruk kerana ia merupakan bangunan lama yang sudah tidak digunakan, jadi sekarang kami sudah ada dua lokasi rumah perlindungan.

“Kami akan bergilir-gilir menggunakan kemudahan itu, yang mana dari bulan Mac hingga Oktober kami akan beroperasi di Rumah Prihatin dan dari bulan November hingga Februari setiap tahun kami akan beroperasi di Rumah Buruk.

“Jadi, itu merupakan alternatif yang akan diambil dalam mempersiapkan kami menghadapi musim banjir. Masa banjir tempoh hari, Rumah Prihatin naik sampai ke paras dada, memang kami tak jangka sama sekali sebab kebiasaannya kawasan ini kalau naik air pun sehingga ke paras lutut,” katanya yang merupakan seorang kontraktor.

November lalu, media melaporkan Khairul Nizam sanggup berenang meredah arus banjir sejauh 300 meter dengan paras air mencecah lebih satu meter bagi memastikan 400 ekor kucing yang terperangkap di rumah perlindungan selamat dan mendapat makanan. – 3 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

No more political appointees: New Malaysian ambassador to US a career diplomat, says Tok Mat

The US has no objections with the nominee who is awaiting the Yang di-Pertuan Agong's consent

Related