Ops Sky: beberapa selebriti dan artis akan dipanggil SPRM

Individu terbabit dipercayai menerima bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat

7:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR –  Beberapa selebriti dan artis tempatan yang dikenal pasti mempromosikan perkhidmatan syarikat perunding kewangan sehingga menerima bayaran RM400,000 akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata selebriti dan artis terlibat dipercayai ditugaskan untuk mempromosi termasuk menjadi duta kepada syarikat berkenaan yang tumpas dalam Op Sky, baru-baru ini.

“Mereka ini (selebriti dan artis) akan dipanggil. Melalui keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, individu ini menerima bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat,” katanya kepada Bernama.

SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Op Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.

Dalam operasi berkenaan juga, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen manakala 98 akaun bank telah dibekukan dengan nilai berjumlah RM17,403,644. – 2 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Swatch scandal: Home Ministry must return Pride collection watches in 14 days

High court rules in favour of company but did not make any orders for damages, costs

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related