KUALA LUMPUR – Indonesia merancang untuk menetapkan had umur penggunaan media sosial sebagai sebahagian daripada langkah untuk melindungi kanak-kanak dalam ruang digital.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid berkata, Presiden Prabowo Subianto telah memerintahkan kementerian terbabit untuk menyediakan peraturan mengenai perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital, dalam masa satu hingga dua bulan, lapor Kompas.com.
“Presiden melalui Setiausaha Kabinet menyampaikan kepada kami agar peraturan perlindungan kanak-kanak ini dapat diselesaikan dengan secepatnya dan waktu yang diberikan dari satu sampai dua bulan.
“Pengaturan perlindungan kanak-kanak di internet yang di antaranya kemungkinan memasukkan pembatasan akses media sosial untuk usia tertentu,’’ kata Meutya.
Jelasnya, pengawal selia itu juga bertujuan memperketatkan pemantauan ruang dalam talian serta mengukuhkan penguatkuasaan.
Tahun lepas, Australia telah meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial.
Selepas undang-undang itu berkuatkuasa pada penghujung tahun ini, individu berusia 16 tahun ke bawah akan dihalang daripada menggunakan platform seperti TikTok, Instagram, Snapchat, Facebook, Reddit dan X.
Kadar penembusan internet di Indonesia, yang mempunyai kira-kira 280 juta penduduk, mencapai 79.5% pada tahun lepas. Ia berdasarkan kajian ke atas 8,700 orang oleh persatuan penyedia perkhidmatan internet Indonesia.
Menurut Meutya, peraturan ini adalah sesuatu yang mendesak tatkala Indonesia menjadi negara keempat terbesar di dunia yang menghadapi masalah konten pornografi kanak-kanak.
Selain itu, katanya pemerintah juga berdepan dengan judi dalam talian dan ‘kejahatan’ digital yang menyasarkan anak-anak.
“Ini belum perjudian online yang juga menyasar anak-anak, kekerasan seksual terhadap anak-anak, dan juga aspek-aspek negatif lainnya,” ujar Meutya.
Berikutan arahan daripada Probowo, beliau memberitahu, kementeriannya bersama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah, serta Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Pelindungan Anak telah menerbitkan Surat Keputusan (SK) mengenai pasukan yang akan merumuskan peraturan berkenaan.
“Pengaturan perlindungan kanak-kanak di internet yang di antaranya kemungkinan memasukkan pembatasan akses media sosial untuk usia tertentu,’’ katanya. – 2 Februari, 2025