KUALA LUMPUR — Kedutaan Malaysia di Jakarta dilaporkan dibaling telur oleh sekumpulan penunjuk perasaan susulan insiden seorang warga Indonesia maut dalam kejadian tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting, baru-baru ini.
Kompas TV melaporkan kira-kira 100 orang termasuk kumpulan hak asasi manusia berkumpul di kedutaan Malaysia di Jakarta semalam.
Mereka membaling telur di pintu gerbang dan bangunan kedutaan.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis ‘tangkap dan penjarakan polisi Malaysia yang menembak mati pekerja imigran Indonesia’’.
Pada Rabu, pihak berkuasa Indonesia di Wilayah Riau telah menerima jenazah warga Indonesia yang maut dalam insiden tembakan itu.
Jenazahnya selamat disemadikan di Pulau Rupat, Bengkalis.
Pada 28 Januari lalu, Indonesia telah meminta Malaysia mengambil tindakan terhadap anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia jika terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan rentetan insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Antara News melaporkan Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Christina Aryani meminta kerajaan Malaysia menyiasat kejadian tembakan membabitkan pegawai Maritim Malaysia dengan lima rakyatnya.
Sementara Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur telah menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia, menggesa siasatan menyeluruh dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan yang berlebihan.
Pada 24 Januari lalu, lima lelaki warga Indonesia termasuk seorang maut ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, Kuala Langat.
Dalam kejadian pada jam 3 itu, bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek ketika menjalankan tugas rondaan di perairan terbabit.
Kesemua mangsa itu berusia 30 hingga 40an dengan tiga yang cedera dihantar ke Hospital Serdang dan seorang di Hospital Klang.
Pada Khamis, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pihaknya juga mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai berada dalam bot sewaktu kejadian.
“Polis percaya terdapat lebih lima orang dalam bot tersebut. Kita juga sudah kenal pasti dua lelaki Indonesia yang menghantar tiga daripada empat mangsa itu ke Hospital Serdang dan usaha mengesannya giat dilakukan,’’ katanya. – 31 Januari, 2025