Amanah masih belum mampu jadi parti alternatif kepada PAS: penganalisis

1:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Parti Amanah perlu tampil dengan imej seperti PAS jika mahu bersaing di ‘padang’ yang sama termasuk memahami psike masyarakat Muslim di negara ini yang menilai berdasarkan cara berpakaian.

Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, Amanah bersaing dengan PAS dengan membawa ideologi Islamis dengan pendekatan yang berlainan.

Namun realitinya, kata beliau, bagi memenangi sokongan masyarakat Muslim, Amanah perlu menampilkan diri dengan imej konservatif misalnya berbaju Melayu, baju Melayu, kopiah, kain pelikat, jubah dan serban.

Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, Amanah kini bersaing dengan PAS manakala Umno pula dengan Bersatu dalam menarik perhatian pengundi. – Gambar dari media sosial, 27 Januari, 2025

“Ya, inilah persepsinya. Pakaian adalah persepsi, pakaian adalah impresi. Para pemimpin Amanah boleh saja berbicara gagasan besar seperti Fiqh Taayush atau Fiqh Muwatanah, atau memetik karya Rashid Ghannoushi, al-Raysuni ataupun Malek Bennabi dengan kopiah dan kain pelikat.

“Tak semestinya dengan pakai baju kemeja lengan panjang, kot dan tali leher. Idea Locke, Said, Chomsky dan sesiapa sahaja tak menjadi murah dengan jubah, serban dan pelikat. Malah lebih ‘gempak’ jika mampu dihadam dengan imej konservatif,’’ katanya menerusi tulisan di Facebooknya.

Semalam, presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Nasional sesi 2024 memberitahu parti berkenaan mensasarkan pengundi Melayu-Islam dan pengaruhnya juga semakin berkembang.

“Saya akui tanggapan (Amanah tak dapat tarik undi orang Melayu) itu dan memang kita tahu pada orang Melayu ini, Umno dan PAS saja ada dalam pemikiran mereka.

“Tapi kita yakin, kita sedang berkembang, di mana keahlian kita bertambah setiap bulan dan saya akui ia berkembang tidak sehebat (parti lawan) tapi ia sedang berkembang dan sekarang ini penerimaan rakyat terhadap kami di Kelantan juga agak memberangsangkan,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Sahul berkata, berdasarkan sasaran tersebut ia menunjukkan Amanah bersaing dengan PAS, bukan Bersatu yang membawa ideologi nasionalis.

“Umno dan Bersatu membawa ideologi nasionalis manakala PAS dan Amanah membawa ideologi Islamis dengan pendekatan yang berlainan. Bahkan, sejarah penubuhan Amanah itu sendiri adalah kerana perbezaan pemikiran dan pendekatannya dengan pimpinan PAS yang ada pada hari ini, seraya menawarkan alternatif kepada masyarakat yang mahukan parti bernuanda Islam tetapi tidak mahukan PAS,’’ katanya.

Bagaimanapun, Sahul memberitahu, setakat ini Amanah masih belum menunjukkan impak keberadaan dalam masyarakat bagi menggantikan PAS dan tidak menjadi alternatif kepada parti itu.

“Bagaimanakah persepsi masyarakat Muslim terhadap barisan kepimpinan Amanah, mampukah mereka menyaingi imej Islamik yang ditampilkan oleh PAS? Sejujurnya, tidak,’’ katanya.

Sahul memberitahu, pakaian ‘barat dan moden’ tidak salah dipakai terutama untuk wacana rasmi atau akademik namun berbeza jika tampil di khalayak umum.

“Di khalayak umum tampillah secara tradisional dan konservatif supaya masyarakat rasa hampir dengan jiwanya. Persepsi adalah mainan dan runtunan jiwa. Realitinya, selain ada etos dan logos, Amanah juga perlukan pathos. Itu realpolitik,’’ katanya. – 27 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Related