Tahun Baharu Cina: pengguna ‘jelajah’ banyak kedai untuk harga murah

Pengguna ambil langkah berhati-hati, rata-rata berpuas hati harga mengikut skim ditetapkan kerajaan

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun harga bahan mentah masih terkawal ketika sambutan Tahun Baharu Cina yang hanya tinggal beberapa hari, namun pengguna tetap berhati-hati, sanggup ‘menjelajah’ beberapa kedai untuk nikmati harga lebih rendah.

Tinjauan Scoop di Lembah Klang mendapati pengguna lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan berbelanja secara bijak.

Linda Foo memperuntukkan RM7,000 untuk sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, termasuk dari segi persiapan makan besar dan pemberian angpau untuk anak dan cucu. – Gambar Scoop/Juliana Johar, 27 Januari, 2025

Bagi Linda Foo, 65, sebelum membeli barang-barang keperluan harian, dia akan membuat perbandingan harga di beberapa kedai terlebih dahulu.

Jelasnya, meskipun tidak banyak perubahan harga antara satu kedai dengan kedai lain, namun pengguna akan dapat melihat perbezaan harga jika rajin membuat tinjauan ke beberapa pasar raya.

Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina pula, Linda berkata dia memperuntukkan sebanyak RM7,000 untuk persiapan sambutan perayaan tersebut.

“Tahun ini sahaja, saya peruntukan sebanyak RM7,000 untuk sambutan Tahun Baharu Cina, termasuk dari segi persiapan makan besar dan pemberian angpau untuk anak dan cucu,” katanya ketika ditemui Scoop.

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina dilancarkan mulai 25 Januari sehingga 2 Februari ini melibatkan 16 jenis barangan yang akan dikawal dari segi paras harga maksimum.

Barangan itu membabitkan ikan bawal putih, udang putih, kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua, lobak merah, lobak putih selain perut, daging dan lemak khinzir.

Antara barangan yang mesti ada ketika sambutan Tahun Baharu Cina buat keluarga Yumna Abdullah, 76, ialah buah limau bali yang menjadi hidangan wajib yee sang.- Gambar Scoop/Juliana Johar, 27 Januari, 2025

Bagi Yumna Abdullah, 76, yang juga seorang mualaf, dia mendapati tiada kenaikan berlaku malah pasar raya akan memberikan diskaun atau menurunkan harga dalam promosi sempena musim perayaan.

Masih meneruskan tradisi makan besar, antara barangan yang sering kali dicari Yumna ketika sambutan Tahun Baharu Cina ialah buah limau bali yang menjadi hidangan wajib yee sang buatnya sekeluarga.

“Harga jualan masih sama, tidak berlaku kenaikan harga. Ketika perayaan Tahun Baharu Cina, saya lebih kepada mencari bahan-bahan ramuan untuk sajian yee sang seperti limau bali dan lobak merah.

“Saya kekalkan tradisi makan besar bersama keluarga untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Manakala Nur Atiqah Ab Rasip, 33, berkata setakat ini dia dan suami akan meninjau dua atau tiga kedai runcit di sekitar kediaman mereka sebelum membuat pembelian.

Menurutnya, cara itu sering digunakannya ketika berbelanja memandangkan kos perbelanjaan yang semakin tinggi.

Nur Atiqah Ab Rasip, 33, dan suami akan membuat perbandingan di beberapa kedai lebih awal sebelum membuat sebarang pembelian kerana kos barangan yang semakin tinggi. – Gambar Scoop/Juliana Johar, 27 Januari, 2025

Nur Atiqah dan suami memperuntukkan RM500 sebulan untuk membeli bahan mentah.

“Setakat ini saya tidak nampak berlaku kenaikan harga, harga masih sama.

“Kebiasaannya saya dan suami, kami akan tinjauan ke dua atau tiga kedai runcit berdekatan rumah untuk buat perbandingan harga. Mana yang tawar harga lebih murah, di situlah biasanya kami berbelanja barang dapur,’’ katanya.

Sementara Ahmad Zabidi Mohd, 56, pula menyifatkan kesemua peniaga sama ada di pasar raya besar atau kedai runcit mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan menerusi skim harga barang kawalan.

Menurutnya, tiada sebarang kenaikan berikutan tindakan tegas yang boleh dikenakan sekiranya mana-mana pihak ingkar dengan peraturan tersebut.

Ahmad Zabidi Mohd, 56, setakat ini berpuas hati dengan peniaga sama ada di pasar raya besar atau kedai runcit yang mematuhi harga barangan kawalan yang ditetapkan kerajaan. – Gambar Scoop/Juliana Johar, 27 Januari, 2025

“Setakat ini, saya beli barang keperluan memang tidak ada nampak peniaga ada menaikkan harga melampau.

“Semua dijual mengikut skim kawalan harga lebih-lebih lagi barang kawalan musim perayaan,” katanya. – 27 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related