KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) didakwa menggunakan dominasi pasarannya untuk menghalang pengeluar gas huluan daripada menandatangani perjanjian dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) iaitu agregator tunggal negeri untuk pengedaran gas sejak 1 Februari 2024.
Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh oleh Scoop, Petros mendakwa Petronas “aktif menghalang” perjanjian pembelian gas baru, yang digambarkan oleh syarikat milik negeri Sarawak itu sebagai campur tangan yang menyalahi undang-undang dengan tugas berkanunnya sebagai agregator tunggal.
“Dengan menghalang pengeluar gas huluan daripada memasuki (perjanjian) dengan Petros, Petronas juga menyalahguna kedudukan dominannya,’’ kata naib presiden kanan (hiliran), Victor Maiyor dalam afidavit yang difailkan pada 11 November 2024.
Petros juga mendakwa tindakan Petronas itu sama dengan “menghasut, membantu dan bersubahat” melanggar Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO 2016), yang memberikan kawalan eksklusif negeri ke atas pengedaran gas asli.
Dakwan ini merupakan sebahagian daripada prosiding undang-undang Petros terhadap Petronas mengenai pertikaian berhubung jaminan bank RM7.95 juta, yang didakwa Petronas adalah disebabkan ‘tiada pembayaran’ oleh Petros di bawah Perjanjian Jualan Gas Sarawak (SGSA).
Bukti campur tangan
Afidavit Victor turut mengemukakan dokumen-dokumen, bertarikh antara 19 Ogos dan 1 Oktober 2024, sebagai bukti Petronas didakwa menghalang pengeluar gas huluan daripada memasuki perjanjian dengan Petros.
Dalam salah satu dokumen bertarikh 28 Ogos, Petronas memaklumkan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP), yang juga anak syarikat milik penuh Petros bahawa ia mesti mendapatkan “persetujuan jelas” Petronas untuk mengelakkan melanggar terma kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).
PSC memerlukan jualan gas yang akan dijalankan berdasarkan asas “berdedikasi bersama”, Petronas menjelaskan, sambil menambah bahawa PSC tetap berkuatkuasa sehingga Petronas dan Petros mencapai penyelesaian dalam perjanjian pengedaran gas Sarawak.
Manakala Sarawak Shell Bhd, dalam surat bertarikh 1 Oktober, memaklumkan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bahawa ia tidak dapat memasuki perjanjian dengan Petros tanpa persetujuan Petronas.
Pada masa sama, Petros juga menafikan dakwaan Petronas bahawa Petros tidak dapat membekal atau menjual gas secara fizikal kepada pelanggan tanpa Petronas, dengan menekankan bahawa di bawah SGSA, Petronas mengakui bahawa gas akan dibekalkan oleh pengeluar gas huluan yang mengendalikan medan gas luar pesisir.
“Petronas tidak mempunyai hak untuk menjual atau membekalkan has daripada mana-mana pengeluar gas huluan kerana ia melanggar DGO 2016. Bagi penjualan hak gas milik Petronas sendiri, Petronas dikehendaki mendapatkan lesen runcit gas untuk menjual gas tersebut kepada Petros.
“Sehingga hari ini, Petronas belum memperoleh lesen sedemikian,” kata Victor.
Victor selanjutnya menegaskan bahawa Petronas sentiasa menyedari keperluan bahawa rangka kerja kontrak baru perlu mematuhi DGO 2016, tetapi telah bertindak “dengan sombong dan sengaja” melanggar ordinan itu.
Beliau menolak hujah Petronas bahawa DGO 2016 bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, dengan menyifatkannya sebagai “mengelirukan dan tidak berasas”.
Pertikaian jaminan bank
Victor juga membidas tuntutan RM7.95 juta Petronas di bawah jaminan bank SGSA, dengan menyifatkannya sebagai ‘cacat’ dan menuduh Maybank Islamic Bank bertindak terburu-buru dalam melepaskan pembayaran itu.
“Maybank Islamic Bank, yang mempunyai tujuh hari untuk membuat pembayaran (di bawah jaminan bank), dengan tergesa-gesa, salah dan secara tidak sah membuat pembayaran kepada Petronas,’’ katanya.
Beliau juga berhujah walaupun Petronas mungkin telah ‘mendahului’ Petros dengan mendapatkan pembayaran dari bank, ‘kebenarannya’ adalah wang yang diterima oleh Petronas masih belum digunakan atau dibelanjakan.
Menegaskan bahawa wang itu masih berada dengan Petronas, Victor berkata: ‘Wang yang diterima secara salah oleh Petronas tidak dibelanjakan. Petronas tidak bercakap benar dengan mengatakan wang itu telah dibelanjakan.’’
Ketika dihubungi oleh Scoop, Petronas enggan mengulas mengenai bagaimana prosiding mahkamah telah menjejaskan rundingan dengan Petros terhadap hak pengedaran gas Sarawak.
“Memandangkan prosiding undang-undang yang melibatkan Petros dan Petronas masih berjalan, kami percaya semua pihak harus menghormati dan membiarkan proses undang-undang berjalan dengan sewajarnya,’’ kata syarikat itu.
Pada 15 Januari lalu. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun Petros telah dilantik sebagai pengagregat gas tunggal Sarawak, Petronas mengekalkan kuasa di seluruh negara.
Dalam afidavitnya bertarikh 5 November, Petronas mempertahankan kedudukannya, dengan menegaskan bahawa haknya di bawah PDA menjadikannya pengagregat sah bekalan gas asli, termasuk pengedaran domestik.
Kes itu dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuching pada 19 Februari. – 24 Januari, 2025.