KUALA LUMPUR – Pendekatan bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan dilihat sebagai suatu pertimbangan rasional oleh kerajaan yang mana hanya mereka yang layak sahaja patut menerima bantuan.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan sedang berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan dan antara perkara yang mahu diubah adalah bantuan yang bersifat pukal.
“Bantuan seperti ini (bersifat pukal) sememangnya memanfaatkan rakyat keseluruhan. Tetapi kerajaan menghadapi kekangan kewangan.
“Justeru, setiap bantuan perlu dinilai semula supaya hanya golongan yang layak sahaja menerima bantuan. Layak ini bererti golongan berpendapatan menengah dan rendah.
“Bagi golongan yang selesa dari sudut kewangannya maka bantuan seperti ini tidak perlulah diberi kerana mereka ini mampu untuk memperuntukkan perbelanjaan bagi tujuan bayaran tol ini.
“Jadi ia merupakan suatu pertimbangan yang rasional yang mana hanya mereka yang layak sahaja patut menerima bantuan,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau berkata, peranan penyampaian maklumat memainkan peranan yang sangat penting supaya rakyat nampak usaha kerajaan untuk memperbaiki kedudukan kewangan.
“Bagi saya isunya adalah pertamanya rakyat melihat pemberian tol percuma pada musim perayaan sudah menjadi suatu budaya kerana dilihat langkah ini membantu sedikit sebanyak bagi mereka yang mahu pulang ke kampung mahupun melancong pada waktu perayaan tersebut.
“Justeru, apabila langkah ini mahu diubah, sudah pasti akan memberi reaksi yang negatif dikalangan masyarakat umum.
“Penerangan yang jelas dan secara berkala dan disusuli dengan data dan “outcome” mungkin mencerahkan perkara yang mahu dicapai oleh kerajaan.
“Kalau tidak, berlakulah kekeliruan serta rasa kurang senang dikalangan rakyat yang tidak diraikan dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah ini selaras dengan usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40, tanpa membabitkan semua pihak secara menyeluruh.
“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati. Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat yang terkesan pada peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain.
“Perkara ini sedang diperincikan. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini hanya menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua, seperti subsidi elektrik dan minyak,” katanya.
Pada Rabu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiada lagi tol percuma akan diberikan sempena musim perayaan.
Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berpandangan, keputusan menghentikan pemberian tol percuma dilihat sebagai sebahagian langkah reformasi fiskal.
“Kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit pada setiap musim perayaan untuk pemberian tol percuma.
“Musim perayaan kita banyak, dalam setahun boleh cecah beratus juta. la boleh dimanfaatkan untuk program lain seperti memperluas program Menu Rahmah yang sangat berguna untuk golongan memerlukan tetapi tidak ada di semua tempat,” katanya.
Barjoyai berkata secara prinsipnya, langkah menghentikan pemberian tol percuma itu juga mampu memupuk budaya berjimat, berbelanja secara efektif dan berkesan dalam kalangan rakyat.
Sementara itu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau mencadangkan kerajaan menyelaraskan kadar tol baru, mengenakan caj lebih tinggi untuk kenderaan berkapasiti enjin melebihi 2000cc.
“Tujuan kerajaan memberikan tol percuma sempena perayaan adalah untuk meringankan beban hidup rakyat. Namun, tumpuan tidak boleh hanya diberikan kepada jenis kenderaan.
“Keluarga atau individu yang tidak memiliki kenderaan dan terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung adalah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga dicadang mempertimbang untuk memberi insentif tol percuma kepada syarikat bas ekspres beberapa hari sebelum perayaan.
“Insentif ini bertujuan menggalakkan syarikat bas menawarkan harga tiket promosi semasa tempoh tol percuma.
“Langkah ini mungkin dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan wajar dikaji oleh kerajaan untuk menilai keberkesanannya,” katanya.
Tambah beliau, jika kerajaan benar-benar bertekad dan yakin untuk menyelesaikan isu pengambilalihan tol dalam tempoh tiga tahun lagi, kerajaan perlu mengumumkan jadual perlaksanaan pelan penghapusan tol.
“Tidak kira sama ada Tahun Baru Cina atau perayaan lain, ramai perantau akan pulang ke kampung untuk bersama keluarga atau membawa keluarga bercuti.
“Oleh itu, tol percuma sempena perayaan bukan hanya berkaitan dengan isu kesesakan lalu lintas, tetapi turut menyentuh keharmonian keluarga serta usaha kerajaan membina masyarakat penyayang,” katanya. – 23 Januari, 2025