KUALA LUMPUR â Kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian diskaun 50% kepada pengguna yang menggunakan lebuh raya sebagai penyelesaian kepada pemansuhan pemberian tol percuma pada musim perayaan.
Itu pandangan orang yang ditemui Scoop ketika ditanya mengenai pemansuhan pemberian tol percuma itu.
Salah seorang yang ditemui, Nur Hamizah Ahmad, 41, berkata, tol percuma semasa perayaan bukan sahaja memberikan kelegaan malah meringankan beban lebih-lebih lagi mereka yang sudah berkeluarga.
“Saya tidak bersetuju sebab keadaan ekonomi sekarang memang sudah mendesak. Kalau sudah tiada lagi tol percuma, lagilah menambah beban kepada sesiapa yang nak pulang ke kampung.
“Kalau tak bagi pun (tol percuma), kerajaan mungkin boleh bagi penyelesaian contohnya dengan pemberian rebat 50% untuk rakyat, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban rakyat,” katanya ketika ditemui Scoop.
Pada Selasa, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiada lagi tol percuma akan diberikan sempena musim perayaan.
Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Dalam itu, Lim E Siang, 24, berharap kerajaan dapat meneruskan dasar pemberian tol percuma tetapi diberikan hanya kepada rakyat Malaysia dan pengguna kenderaan persendirian.
Jelasnya, penerima manfaat tol percuma itu mungkin dapat diperketatkan dan tidak diberikan kepada orang asing.
âSaya tidak bersetuju sebab kita bayar cukai (dan berhak dapat merasa sedikit manfaat).
“Mungkin selepas ini kerajaan boleh hadkan pemberian tol percuma hanya kepada rakyat Malaysia sahaja sebab sebelum ini orang asing pun nikmati kemudahan yang sama.
“Sekarang semua orang pakai kad ‘touch and go’, daripada situ boleh sahkan sama ada dia rakyat Malaysia atau tidak.
“Selain itu, lori-lori atau bukan kenderaan persendirian tidak perlu diberi tol percuma dan dengan cara ini kerajaan mungkin dapat berjimat untuk membayar subsidi tol percuma kepada konsesi tol,” katanya.
Bagi Julie Lee, 53, pula berkata, pemberian tol percuma pada musim perayaan akan memberikan kelegaan yang besar kepada mereka yang berpendapatan rendah.
âDengan pemberian tol percuma atau rebat, ia sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada rakyat Malaysia yang kini semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Sekarang banyak benda sudah semakin mahal dan naik harga, jadi saya tidak bersetuju apabila kerajaan tarik balik dasar pemberian tol percuma sempena musim perayaan utama negara ini.
“Menjelang sambutan Tahun Baru Cina ini, kalau boleh kerajaan berilah sedikit diskaun atau tol percuma, sekurang-kurangnya boleh bantu ramai orang yang kurang berkemampuan untuk pulang ke kampung pada musim perayaan,” katanya.
Soma Sundram, 71, yang merupakan seorang pesara jurutera pula berpendapat sebaliknya dan bersetuju dengan keputusan kerajaan yang dilihat menjimatkan perbelanjaan negara sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas terutama ketika musim perayaan.
Menurutnya dengan wang tersebut, kerajaan dapat menyalurkannya kepada keluarga susah yang lebih memerlukan bantuan berbanding pemberian tol percuma kepada semua pihak.
“Saya bersetuju kerajaan menarik balik dasar pemberian tol percuma sebabnya dalam sehari kerajaan perlu membayar RM35 juta untuk penggunaan tol percuma.
“Duit yang digunakan itu boleh disalurkan kepada golongan rakyat susah yang lebih memerlukan.
“Antara satu sebab lagi ialah pemberian tol percuma akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan ini akan menambahkan statistik dan risiko kemalangan jalan raya dalam kalangan pengguna,” katanya. – 23 Januari, 2025