‘Budaya janji kosong akhirnya tol percuma musim perayaan dihapuskan’, sindir pembangkang

Fokus sebenar kerajaan sepatutnya bangunkan ekonomi dan tingkatkan pendapatan kerajaan, dengan itu pemberian kepada rakyat dapat ditambah

8:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan memberhentikan tol percuma pada musim perayaan menunjukkan kerajaan berada di ‘kayangan’ dan tidak memahami realiti kehidupan rakyat seharian.

Sedangkan ketika menjadi pembangkang, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pakatan Harapan (PH) sendiri berjanji akan memansuhkan tol jika diberikan mandat membentuk kerajaan.

Rupa-rupanya, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, bukan tol dihapuskan sebaliknya tol percuma musim perayaan yang dihentikan.

Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pemberian tol semasa musim perayaan tidak salah dan sepatutnya diteruskan. – Gambar fail Scoop, 23 Januari, 2025

Wan Saiful turut menarik perhatian bahawa kumpulan yang paling terjejas dengan keputusan menghentikan tol percuma musim perayaan itu ialah golongan pertengahan M40 dan langkah ini merupakan tindakan menekan majoriti rakyat dalam negara.

“Saya rasa pemberian tol semasa sambutan (perayaan) tidak salah dan sepatutnya diteruskan.

“Dia (kerajaan) duduk di peringkat kayangan dan tidak memahami realiti rakyat di bawah. Paling terjejas ialah M40 kerana B40 mendapat bantuan bersasar. Manakala golongan kaya T15 tidak akan terkesan daripada penarikan balik subsidi dan tol percuma. Mereka tidak peduli pun.

“Fokus sebenar kerajaan sepatutnya bangunkan ekonomi dan tingkatkan pendapatan kerajaan, dengan itu pemberian kepada rakyat dapat ditambah. Bila gagal bangunkan ekonomi kesannya duit terpaksa dipotong,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Pada Rabu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiada lagi tol percuma akan diberikan sempena musim perayaan.

Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemberian tol percuma pada musim perayaan tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya.

Apa yang penting, kata Zahid ialah ialah pengguna jalan raya mengubah sikap dan merancang perjalanan apabila tiba musim perayaan.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata banyak janji lain yang dilaungkan sebelum ini tidak ditunaikan. – Gambar fail Scoop, 23 Januari, 2025

Dalam pada itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula berkata, rakyat kini semakin memahami banyak perkara yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini merupakan janji-janji yang telah dikhianati.

Beliau memberitahu, jika dahulu Anwar pernah berjanji untuk menghapuskan tol kerana kononnya ia menzalimi rakyat, kini tindakan kerajaan pimpinannya amat berbeza.

Jelasnya, rakyat masih ingat laungan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penurunan harga petrol dan janji-janji lain yang diungkapkan kepada rakyat Malaysia sebelum ini juga tidak ditunaikan.

“Janji hanya tinggal janji,’’ ujarnya yang turut meminta orang ramai supaya berjimat-cermat dan berhati-hati apabila pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan.

Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari berkata, rakyat Malaysia menuntut kejujuran dan jika sesuatu perkara itu sukar dilaksanakan maka ia perlu dinyatakan sejak awal bukannya bermain memberikan harapan bagi memenangi undi. – Gambar fail Scoop, 23 Januari, 2025

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari pula berkata, PH berjanji untuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya melalui manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PH juga, katanya bertekad untuk meneruskan pengurangan tol secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan mengembalikan lebuh raya PLUS kepada milik awam.

“Penghapusan tol bukanlah satu perkara mudah. Industri lebuh raya bertol di Malaysia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk syarikat konsesi, institusi kewangan dan pelabur asing.

“Berdasarkan laporan Kementerian Kerja Raya, kos pengambilalihan konsesi lebuh raya yang dirancang untuk tempoh 2020-2030 dijangka mencecah lebih RM130 bilion.

“Ini termasuk pampasan kepada syarikat konsesi untuk kehilangan pendapatan jangka panjang. Malah, kerajaan PH sendiri pernah memegang kuasa selepas PRU14 pada 2018 dan mengetahui kesukaran ini. Jadi, mengapa mereka masih berani berjanji untuk menghapuskan tol jika sedar ia bukan mudah dilaksanakan,’’ soalnya.

Fadhli turut membidas kenyataan Zahid mengenai tol percuma dan menyifatkan ia seolah-olah cuba mengalihkan isu sebenar.

“Kesesakan jalan raya adalah masalah berasingan yang memerlukan perancangan pengangkutan awam yang lebih baik, bukannya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat menikmati tol percuma.

“Adakah Zahid ingin mengatakan bahawa rakyat perlu membayar tol untuk memastikan jalan tidak sesak. Logik ini hanya mengelirukan dan tidak membantu menyelesaikan masalah utama,’’ katanya.

Menurut Fadhli, rakyat Malaysia menuntut kejujuran dan jika sesuatu perkara itu sukar dilaksanakan maka ia perlu dinyatakan sejak awal bukannya bermain memberikan harapan bagi memenangi undi.

“Keputusan ini bukan sekadar soal tol percuma, tetapi ia mencerminkan satu budaya politik yang perlu diperbetulkan — budaya janji kosong. Dan rakyat terus diulit dengan janji tol percuma yang bagaikan mimpi yang tak sudah,’’ katanya. – 23 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related