KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama berdepan cabaran besar dalam memastikan perpaduan antara rakyat terus terpelihara.
Walaupun kepelbagaian budaya merupakan kekuatan negara, ia juga mewujudkan potensi konflik apabila isu-isu berkaitan perkauman, agama, atau institusi diraja dibangkitkan secara tidak bertanggungjawab.
Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, isu-isu berkaitan 3R (Race, Religion, Royalty) semakin menjadi perhatian ramai.
Isu 3R adalah salah satu bidang yang diberi perhatian serius oleh MCMC
Kandungan yang menghasut atau memanaskan sentimen berkaitan kaum, agama, atau institusi diraja boleh mencetuskan ketegangan etnik dan agama, yang berpotensi membawa kepada rusuhan atau konflik besar.
Dalam landskap politik Malaysia, topik sensitif ini kerap diheret ke arus perdana disebabkan wujudnya parti politik berasaskan kaum dan agama.
Hal ini menjadikan manipulasi isu 3R sebagai cara mudah untuk menarik undi, terutama dari golongan yang berkongsi nilai atau identiti tertentu.
Ironinya, meskipun mendakwa memperjuangkan kepentingan rakyat, ramai ahli politik lebih mementingkan kedudukan mereka, bahkan cenderung menjadikan isu 3R sebagai ‘pelindung’ untuk menutup kelemahan yang lebih mendesak.
Kesan penyalahgunaan isu 3R tidak boleh dipandang ringan
Apabila terlalu kerap dimanipulasi, ia bukan sahaja mencetuskan ketegangan kaum tetapi juga berpotensi memecahbelahkan masyarakat.
Sentimen ini menggugat rasa hormat antara komuniti, memecahkan ikatan perpaduan, dan akhirnya mengorbankan kestabilan negara atas nama kepentingan politik.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan beberapa kes besar yang melibatkan tokoh-tokoh terkenal seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Menteri Besar Kedah yang dituduh mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghasut semasa satu ceramah politik.
Kedua-duanya sedang disiasat oleh pihak berkuasa kerana didakwa melanggar sensitiviti 3R dalam kenyataan awam mereka. Tindakan pantas ini menunjukkan betapa seriusnya pihak berkuasa dalam menangani isu-isu yang boleh mengeruhkan keharmonian negara.
Apa yang dahulunya dibincangkan dalam lingkungan kecil, kini dengan mudahnya dapat tersebar melalui media sosial, mempengaruhi jutaan orang dalam masa yang singkat.
Namun, adakah kita sedar betapa sensitifnya isu-isu ini dan impaknya terhadap keharmonian negara?
Kontroversi tercetus dalam kalangan netizen Malaysia apabila stokin dengan perkataan ‘Allah’ dijual di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway.
Insiden ini yang bermula dengan gambar stokin berkenaan tersebar di media sosial pada 13 Mac, segera mencetuskan kemarahan orang ramai hingga mendorong masyarakat yang terkesan memboikot pasaraya tersebut.
Namun, ini juga menimbulkan persoalan: apakah sempadan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial? Adakah undang-undang ini cukup untuk mengawal penyebaran kandungan sensitif atau kita memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mendidik masyarakat tentang kesan negatif kandungan yang tidak terkawal?
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kandungan yang disiarkan melalui platform komunikasi berada dalam kawalan yang selamat dan bertanggungjawab.
Berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC diberi mandat untuk mengawasi dan mengawal selia semua bentuk komunikasi digital.
Dengan kewujudan akta ini, MCMC bukan sahaja mampu mengenal pasti kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, malah ia turut diberikan kuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu atau organisasi yang melanggar peraturan ini.
Tindakan ini termasuklah penyiasatan dan hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran kandungan yang mengancam kesejahteraan masyarakat.
Data MCMC menunjukkan lonjakan kandungan provokatif di media sosial – 35,490 kandungan telah diturunkan pada tahun 2023 dan 27,115 lagi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja.
Sebanyak 2,004 kandungan berkaitan ucapan kebencian 3R telah dihapuskan dan sejak insiden stokin ‘Allah’ di KK Mart berlaku, 479 lagi kandungan provokatif berkaitan 3R turut diturunkan.
Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tetapi juga pada setiap individu untuk memastikan ruang maya kita kekal selamat dan bebas dari kebencian.
Pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan ditekankan untuk lebih proaktif dalam menangani komen serta kandungan berunsur provokasi.
Kuasa editorial mereka bukan sekadar terhad kepada keupayaan teknikal; ia adalah tanggungjawab sosial yang besar. Memastikan perbincangan kekal harmoni dan selamat memerlukan pentadbiran yang bijak mengurus reaksi pengguna di platform masing-masing.
Malaysia berada di persimpangan penting dalam menghadapi cabaran digital ini
Tindakan penguatkuasaan sahaja mungkin tidak mencukupi. Keberkesanan undang-undang dan penguatkuasaan seperti yang dilaksanakan oleh MCMC hanya akan berjaya jika disertai dengan kesedaran awam yang tinggi.
Dengan cabaran ini, masa depan keharmonian sosial Malaysia terletak di tangan setiap warganya—dari mereka yang berkuasa hingga rakyat biasa yang menekan butang ‘kongsi’ di telefon pintar mereka.
Sekiranya anda menemui sebarang kandungan yang mengandungi unsur hasutan, provokasi atau penghinaan terhadap agama, Institusi Diraja, atau perkauman, tindakan segera perlu diambil.
Laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui pelbagai saluran mudah: portal Aduan MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/, talian aduan 1800-188-030, WhatsApp di 016 2206 262, atau e-mel di [email protected]. – 22 Januari, 2025