Seksyen 2 WCE dibuka tengah malam ini, tol percuma selama sebulan: Alexander

Menteri Kerja Raya berkata, ia akan memendekkan tempoh perjalanan antara Shah Alam dan Banting, dari satu jam kepada 25 minit sahaja

1:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Shah Alam (SAE) akan dibuka tengah malam ini, dengan tol percuma diberikan kepada pengguna selama sebulan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan memendekkan tempoh perjalanan antara Shah Alam dan Banting, dari satu jam kepada 25 minit sahaja.

“Dengan pembukaan Seksyen 2 WCE ini, ia dapat menjimatkan masa pengguna selain menawarkan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Bahagian lebuhraya yang dibuka ini melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer dan pengguna kini mempunyai laluan alternatif yang lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke Lebuhraya SKVE dan Lebuhraya KESAS.

“Pengecualian tol hanya hanya akan diberikan sehingga Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE). Kadar tol bagi jajaran sedia ada akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 WCE (Persimpangan Bertingkat SKVE – Persimpangan Bertingkat SAE) di Plaza Tol WCE (SAE), di sini hari ini.

Menurut Alexander, selain meningkatkan kelancaran pergerakan, Lebuhraya WCE turut menyediakan sambungan strategik ke Pelabuhan Klang yang bakal memanfaatkan sektor pengangkutan kargo.

“Ia akan menjadi ‘jalan kehidupan’ yang membuka peluang baharu kepada masyarakat di sepanjang koridor pantai barat ini.

“Sebagai contoh, kawasan seperti Banting, Telok Panglima Garang, Pulau Indah, dan Bandar Botanik akan menjadi lebih mudah diakses, menjadikannya destinasi yang lebih menarik untuk pelabur serta merangsang jaringan perhubungan pengangkutan awam di sekitarnya,” katanya.

Pembukaan jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 kilometer yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping di Perak.

Alexander memberitahu masih berbaki tiga Seksyen WCE sepanjang 45 kilometer yang belum dibuka daripada 11 jajaran keseluruhan.

“Tiga (Seksyen WCE) yang belum dibuka adalah di Selangor dengan Seksyen 3 WCE dijangka akan dibuka pada tahun depan,” katanya. – 21 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related