KUALA LUMPUR — Cubaan menghalang perbincangan awam mengenai Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi adalah untuk melindungi Jabatan Peguam Negara (AGC), dakwa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau mendakwa bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh telah menyembunyikan kewujudan perintah mengenai tahanan rumah Najib, dan kini AGC memohon mahkamah untuk mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melindungi bekas ketua mereka.
Menghairankan kata Shafee, AGC sebelum ini menentang permohonannya untuk perintah larangan bersuara ketika perbicaraan rasuah SRC International Najib pada 2018. Ini adalah perintah larangan bersuara sementara mengenai perbincangan awam diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abdul Razak pada Julai tahun itu.
Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas menentang perintah larangan bersuara itu dengan alasan ia melanggar hak kebebasan bersuara.
Pada Ogos 2018, selepas Hakim Datuk Mohd Nazlan menggantikan Sofian, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk melanjutkan perintah larangan sementara tersebut.
“Dalam kes tertentu di mana orang ramai menjadi terlalu teruja dan menyuarakan terlalu banyak pendapat, perintah larangan boleh memberi manfaat.
“Sofian pada mulanya mengendalikan kes SRC International apabila saya memohon perintah larangan bersuara.
“Bolehkah anda teka siapa yang mahu ia ditarik balik? Tommy Thomas, iaitu Peguam Negara.
“Perintah larangan tersebut (kemudiannya) ditarik balik oleh Hakim Nazlan berikutan apa yang dikatakan sebagai pemindahan rutin, yang saya langsung tidak percaya,’’ kata Shafee ketika menjadi tetamu podcast Trick Lama.
Ia diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.
Beliau juga berkata Terrirudin, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan perlu meletak jawatan kerana ‘mengelirukan mahkamah’ berhubung kewujudan Titah Adendum.
Najib kini sedang berusaha untuk memaksa Putrajaya mengesahkan dan melaksanakan Titah Adendum berhubung tahanan rumah.
Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosidang semakan kehakiman berhubung kewujudkan Titah Adendum tersebut.
Shafee ketika membandingkan perbicaraan SRC dengan semakan kehakiman itu berkata, Titah Adendum itu sudah banyak diperkatakan oleh orang ramai.
“Kuda sudah melarikan diri. Kenapa sekarang nak tutup pintu kandang? Ia sudah terlambat.
“Orang akan sangka ada sesuatu disembunyikan. Saya percaya ia bertentangan dengan kepentingan kerajaan untuk AGC meneruskan perintah larangan bersuara,’’ tambah Shafee.
Shafee menyatakan keyakinan bahawa mahkamah akan menegakkan undang-undang dengan menguatkuasa Titah Adendum, yang akan membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan rundingan antara Najib dan kerajaan.
“Pengiktirafan dan penguatkuasaan Titah Adendum adalah keputusan undang-undang.
“Juga mungkin ada keputusan politik yang wujud daripada rundingan antara kerajaan dan Najib, yang saya tidak tahu.
“Ia mungkin kerana Najib tiada tempat untuk dituju kerana dia berada di penjara dan mudah diakses untuk perbincangan,” kata Shafee.”
Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Hukuman tersebut berkaitan dengan sabitannya atas penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Najib kemudiannya mendakwa dekri diraja bertarikh 29 Januari 2024 – apabila Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang untuk memutuskan pengurangan hukumannya – membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Pada April 2024, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, namun telah ditolak.
6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosidang semakan kehakiman berhubung kewujudkan Titah Adendum itu. – 20 Januari, 2025