Pukul OKU: mangsa pernah jadi Tokoh Pelajar, diuji gangguan mental selepas SPM, kata rakan

Rakan mangsa yang juga Profesor Mohd Afandi Salleh berkata mangsa dikenali sebagai Paijang juga aktif sukan hoki dan pemain terbaik Terengganu

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mangsa Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul, diseret dan ditendang di kepala di tapak pasar tani di Padang Astaka Chukai, Terengganu, pernah menjadi tokoh pelajar di negeri itu semasa peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Ia didedahkan oleh rakan mangsa yang juga profesor di Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Profesor Mohd Afandi Salleh kepada Scoop.

Selain menjadi pelajar terbaik, mangsa yang digelar Paijang juga adalah pemain hoki terbaik sekolah serta Terengganu.

Profesor Mohd Afandi Salleh mengenali mangsa ketika melatih pasukan hoki SHAMS. – Gambar dari Facebook, 20 Januari, 2025

Menurut Mohd Afandi, Paijang bagaimanapun mengalami gangguan mental selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya mengenali beliau semasa melatih pasukan hoki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek (SHAMS) yang diwakili beliau sekitar tahun 1994/95. Dia dikenali dengan nama Paijan, antara pelajar terbaik dan pemain hoki terbaik SHAMS serta Terengganu.

“Allah uji dia dengan kesakitan mental selepas persekolahan beliau. Semoga Allah memberi rahmat dan kesembuhan kepada saudaru Paijan,’’ katanya.

Semalam, polis dilaporkan menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pukul lelaki OKU itu pada kira-kira 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman ketika hadir memberi keterangan.

Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun yang menunggang motosikal terlanggar salah sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan jualan terjatuh.

Seorang lagi rakannya semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, dikenali sebagai Engku Fadzli berkata, Paijang merupakan seorang suami dan ayah, tidak pernah bertindak ganas serta kebiasaannya sangat gembira serta suka bergurau.

“Tengahari semalam group Whatsapp kami dikejutkan dengan video viral Paijang dipukul di Pasar Pagi, Padang Astaka, Kemaman.

“Lepas tu salah seorang dari kami dapat call (hubungi) dari adik Paijang memaklumkan dan mengesahkan perkara tersebut. Hancur luluh hati kami melihat Paijang diperlakukan sebegitu,’’ katanya ketika menulis di Facebook.

Jelasnya, selagi Paijang tidak mendatangkan ancaman secara fizikal maka tidak ada seorang pun yang berhak melakukan kekejaman tersebut kepadanya.

“Mungkin Paijang bercakap kasar selepas terbabas dan selepas dimarahi orang ramai, namun langsung tidak ada video yang menunjukkan Paijang bertindak kasar secara fizikal. Kamu semua juga dah tau dia OKU. Kamu semua patut bantu dia,’’ tegasnya.

Justeru Engku Fadzi meminta polis mengambil tindakan segera ke atas pelaku yang disifatkan sebagai samseng yang sangat memalukan Islam dengan perbuatan kejam itu.

“Ada video di mana Paijang menahan kesakitan dan pedih di bahagian muka, meminta air mineral untuk basuh muka tapi tiada siapa yang layan. Akhirnya Paijang menadah muka di air hujan, tapi mukanya disepak pula oleh seorang pakcik berbaju merah yang mengheret Paijang,’’ katanya.

Datuk Ras Adiba Radzi berkata apa yang mneyedihkan orang di sekeliling langsung tidak membantu. – Gambar fail Bernama, 20 Januari, 2025

Dalam pada itu, Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi berkata, warga OKU sudah cukup melalui pelbagai kesukaran dalam kehidupan harian daripada pelbagai sudut justeru insiden ini amat mendukacitakan.

Ras Adiba menerusi kenyataan berkata, apa yang lebih menyedihkan ialah pengunjung di pasar itu sekadar melihat tanpa menghulurkan apa apa bantuan.

“Rakaman yang tular berkenaan peristiwa itu begitu menyayat hati untuk ditonton kerana individu OKU tersebut berseorangan sambil diheret dan disepak terajang oleh sekumpulan warga yang belum dikenal pasti setakat ini atas kesalahan yang kami percaya tidak sengaja dilakukan,’’ katanya.

Tambah Ras Adiba, alasan tidak mengetahui mangsa adalah seorang OKU ketidakupayaan mental bukan lesen untuk membenarkan tindakan keras fizikal sebagai hukuman terhadap sesiapa. – 20 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related