KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak berpuas hati kerana hanya tiga orang yang ditahan dalam kejadian memukul, mengheret dan menendang kepala melibatkan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mental di tapak Pasar Tani Kemaman, Terengganu.
Ini kerana, katanya pelaku dalam kes berkenaan lebih ramai dan melebihi tiga orang.
“Saya tengok bila tiga orang yang ditangkap itu, saya sendiri pun tidak berpuas hati.
“Ramai je, lebih dari tiga orang.
“Tengok akta yang dibawa itu pun saya rasa terlalu ringan. Jadi kita tak nak gunakan akta sedia ada, kita nak kalau boleh pesalah itu dituduh di bawah akta yang lebih berat,’’ katanya.
Akmal berkata demikian dalam perbualan video dengan isteri kepada mangsa OKU berkenaan dan perbualan itu dimuatnaik dalam Facebooknya hari ini.
Beliau yang kini berada di Sabah, turut menghantar Exco Pemuda Umno, Mohd Fadini Rahim melawat keluarga mangsa di Kampung Mak Chili di Terengganu dan bertemu isteri mangsa, Faridah Abdul Karim dan anak-anak mereka.

Semalam polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pukul OKU di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata tiga lelaki terbabit termasuk seorang peniaga berusia antara 18 hingga 60 tahun.
Sejak kelmarin, tular video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan lelaki OKU itu dipukul dan diseret di media sosial.
Siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dalam pada itu, Akmal memberi jaminan kepada keluarga OKU berkenaan bahawa Pemuda Umno akan menyediakan khidmat guaman percuma kepada mangsa bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan.
Jelasnya, bagi tujuan itu Pemuda Umno akan melihat sudut yang sesuai bagi memastikan pelaku terlibat dikenakan hukuman berat.
“Saya akan pastikan keadilan diberikan kepada abang (mangsa OKU), jangan risau.
“Kita nak pesalah dikenakan hukuman berat lagi. Jangan risau, kami akan bersama dengan abang,’’ katanya kepada isteri mangsa. – 19 Januari, 2025