KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental cedera selepas dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu, semalam.
Video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan lelaki itu dipukul dan diseret, kini tular di media sosial.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Wan Muhammad Wan Jaafar, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 pagi dan kini sedang mengesan mereka yang terlibat.
Jelasnya, siasatan mendapati mangsa yang berusia 47 tahun itu adalah pemegang kad OKU kategori ketidakupayaan mental.
Menurutnya, ketika itu, lelaki terbabit menunggang sebuah motosikal memasuki tapak jualan tersebut dan dikatakan terlanggar sebuah gerai jualan di situ menyebabkan barangan jualan tumpah dan terjatuh.
“Kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul mangsa.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar,’’ katanya.
Dalam pada itu, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian selebriti media sosial, Caprice yang turut memuatnaik video tersebut di dalam Instagramnya.

Sambil mengecam insiden tersebut, Caprice turut membidas orang ramai yang berada di situ tetapi tidak menghulurkan bantuan kepada mangsa, dan menyifatkan mereka sebagai toksik ‘herd mentality’.
Jelas Caprice, meskipun lelaki itu melanggar gerai terbabit namun perbuatan kejam memukulnya tidak boleh diterima akal.
“Imagine that. Pukul ramai-ramai, lepas tu drag the OKU across the street like an animal. Sick. Walaupun dia salah langgar gerai, tapi korang lagi salah belasah orang ramai-ramai macam tu.
“lain kali guys, jgn pandai-pandai ambil tindakan sendiri. Kalau percaya kepada rezeki.. tak akan jadi sampai macam ni. Walaupun sakit bila gerai kena langgar… lagi sakit duduk dalam lokap,’’ katanya. – 18 Januari, 2025