Kerangka Ekonomi Madani catat kejayaan, Malaysia bakal lancar taman reka bentuk cip kedua: PM

Malaysia melancarkan taman reka bentuk cip yang pertama di Puchong, Selangor pada 2024

10:05 PM MYT

 

LONDON – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetengahkan kejayaan Kerangka Ekonomi Madani, yang dilancarkan pada 2023 dalam syarahan beliau di London School of Economics (LSE) hari ini.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan taman reka bentuk cip kedua untuk memanfaatkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ini bukanlah masa untuk berpuas hati dengan pencapaian tersebut.

Beliau berkata penglibatan Malaysia yang meluas dalam industri semikonduktor menjadi bukti kepada prospeknya yang berpandangan ke hadapan.

“Baru-baru ini, kami melancarkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang memperuntukkan insentif dan pelaburan yang berpotensi membawa perubahan besar untuk menjadikan Malaysia amat penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Malaysia telah menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, kini menyasarkan  untuk meningkatkan lagi rantaian nilai melalui tumpuan yang disasarkan kepada aktiviti peringkat awal.

“Kami sedang melangkah dengan pantas. Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan melancarkan taman reka bentuk cip kedua kami, kurang setahun selepas yang pertama,” kata beliau dalam syarahan bertajuk: ‘The Adaptive Edge: Malaysia’s Global Strategy in an Uncertain Era’ yang dihadiri kira-kira 500 pelajar.

Malaysia melancarkan taman reka bentuk cip yang pertama di Puchong, Selangor pada 2024. 

Di ASEAN, Perdana Menteri berkata Malaysia antara penggerak utama dalam bidang pusat data dan kecerdasan buatan (AI) selain menggalakkan usaha untuk meneroka pelbagai kemungkinan dalam mata wang kripto.

“Kami juga sedang berusaha untuk melakukan ini secara mampan. Malaysia komited untuk beralih daripada penjanaan tenaga konvensional sedia ada, meningkatkan komposisi tenaga boleh baharu kepada 70% daripada jumlah kapasiti penjanaan menjelang 2050.

“Akhirnya, sebagai sebuah negara perdagangan antarabangsa, arus ketidaktentuan memerlukan tekad baharu untuk kekal adaptif dan terus mencapai kejayaan tanpa mengabaikan usaha utama untuk mencapai pertumbuhan yang mampan, inklusif dan adil,” kata beliau.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia menyahut seruan ini apabila negara menetapkan matlamat untuk memastikan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang penting serta kemajuan teknologi di dunia yang tidak dapat dijangka.

Beliau berkata melalui paradigma yang berpandangan jauh dan menyeluruh inilah Malaysia mencapai keputusan strategik untuk menyertai BRICS. 

“Ia bukan, seperti yang didakwa oleh sesetengah pemerhati, mengenai Malaysia memilih pihak tertentu. Ia mengenai pengiktirafan yang jelas terhadap perubahan geopolitik dan geoekonomi yang berlaku di sekeliling kita dan meluaskan pilihan kita,” tegas beliau. – 17 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related