KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggesa Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh meletak jawatan kerana didakwa mengelirukan mahkamah berhubung kewujudan Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Shafee berhujah ketika prosiding semakan kehakiman bermula pada April 2024, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diketuai oleh Terrirudin ketika itu, mendiamkan diri mengenai Titah Adendum.
Menurut Shafee, ia mengakibatkan permohonan Najib untuk melaksanakan Titah Adendum ditolak.
“Ketika kami di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh ketika menentukan sama ada untuk membenarkan permohonan (semakan kehakiman), terpaksa memutuskan (kewujudan Titah Adendum) adalah berdasarkan dengar cakap.
“Ia adalah kecurigaan, oleh itu beliau tidak boleh menerimanya. Beliau terpaksa (memutuskan begitu) kerana tiada jawapan daripada Peguam Negara.
“Wakil Peguam Negara hadir. Ia mesti dianggap sebagai Peguam Negara sendiri kerana dia mewakilinya,’’ kata Shafee ketika menjadi tetamu podcast Trick Lama.
Ia diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.
Dalam podcast tersebut, Shafee berkata Titah Adendum Agong memberikan peluang kepada Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah mungkin sesuatu yang luar biasa tetapi ia bukan sesuatu yang dilakukan tanpa duluan atau ‘precedent’.
Oleh itu mereka yang ingin mengekalkan Najib di penjara tidak seharusnya mengelirukan orang ramai.
Beliau yang juga peguam kepada kes cucu Tun H.S. Lee, Kenneth Lee Fook Mun yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Linda Lee Good Yew berikutan kemalangan 24 tahun lalu, Shafee menjelaskan Kenneth pada mulanya dijatuhi hukuman mati.
Selepas menerima pengampunan diraja daripada Agong, hukuman mati itu ditukar kepada penjara seumur hidup.
Shafee mendakwa Terrirudin mungkin telah mengelirukan mahkamah kerana Peguam Negara sepatutnya menyedari kewujudan Titah Adendum.
Beliau menekankan bahawa dokumen itu, yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dialamatkan kepada Peguam Negara.
Tambahan pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengakui kewujudkan dokumen berkanaan.
Daripada mendedahkan Titah Adendum itu, Shafee menyimpulkan bahawa AGC mungkin menyembunyikannya.
Beliau berpendapat bahawa tindakan yang betul adalah Peguam Negara mengakui kewujudan dokumen tersebut dan berbahas mengenainya.
“Ini adalah perkara yang paling terhormat yang boleh dilakukan oleh Peguam Negara, namun dia memilih untuk melalui jalan yang berliku dan kini berada pada satu titik yang paling rendah.
“Ini bukan sahaja mengelirukan mahkamah, malah ia adalah jenayah penghinaan.
“Saya ingin menyatakan dengan tegas dalam menghadapi salah lakunya, dia perlu meletak jawatan serta-merta sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan kerana dia tidak mempunyai hak untuk memegang kuasa keadilan apabila dia gagal dalam tugas yang lain,’’ katanya.
Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 71, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Pada April 2024, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, namun telah ditolak.
6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung kewujudkan Titah Adendum itu. – 18 Januari, 2025