KUALA LUMPUR — Syarikat pengeluar roti sandwic kontroversi, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd memaklumkan bahan mentah yang digunakan dalam ‘sandwic ham’ itu mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Dalam kenyataannya, Shake and Bake memberitahu, bahan yang digunakan dalam sandwic berkenaan ialah roti, keju dan kepingan ayam.
“Kami juga mengesahkan pada 10 Januari 2025, jam 12.00 tengahari, pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jakim telah datang ke kilang.
“Kini ia dalam siasatan KPDN dan Jakim.
“Kami berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan Jakim dalam siasatan ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 13 Januari lalu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam kenyataannya berkata, hasil maklumat awal mendapati premis itu merupakan sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk roti sandwic serta menggunakan penandaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disyaki tamat tempoh.
Pemeriksaan lanjut, katanya mendapati logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic itu ialah logo yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain.
Terdahulu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh membangkitkan mengenai sandwic ham yang diragui status logo halal yang dijual di kedai serbaneka KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM).
Dalam tindakan segera, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd telah membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal yang didakwa membekalkan sandwic yang mengandungi logo yang diragui di salah satu cawangannya di Universiti Malaya (UM).
KK Super Mart dalam kenyataannya memberitahu produk sandwic itu dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat Shake And Bake Cafe Sdn Bhd, dan laporan polis turut dibuat ke atas syarikat itu pada 11 Januari lalu. – 15 Januari, 2025