Titah Adendum: Kabinet tidak arahkan AGC fail ‘gag order’ kata Fahmi

Menurut Fahmi, Kabinet tidak membincangkan mengenai perintah larangan bersuara itu

6:27 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Kabinet tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memfailkan permohonan mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung isu Titah Adendum.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kabinet hari ini  juga tidak membincangkan isu terbabit.

“Tidak dibincangkan… Kami (jemaah menteri Kabinet) tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara (berhubung gag order Titah Adendum),” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan pihak kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes Titah Adendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang ditemui di lobi mahkamah memberitahu media pihaknya akan memfailkan perkara itu 20 Januari depan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan kontroversi ‘sandwic halal’ yang hangat diperkatakan sebelum ini, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan.

Ditanya alasan permohonan itu, Shamsul berkata ia adalah untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Pada 13 Januari, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Januari tahun lalu.

Isu berkenaan hangat dibahaskan selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan  produk sandwic ‘ham and cheese’ yang dibekalkan di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Dalam kenyataannya, Jakim memberitahu, syarikat yang menghasilkan produk berkenaan juga bukan pemegang SPHM.

Fahmi turut mengulas mengenai isu melibatkan lebih 300 jemaah umrah yang terkandas selepas syarikat pengendali gagal menerbangkan mereka ke tanah suci.

“Walaupun kita tidak bincangkan (isu jemaah terkandas) tapi ia (kes sebegini) kerap berlaku.  

“Saya percaya pihak MOTAC yang mengendalikan lesen bagi syarikat-syarikat umrah akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat dan saya minta rujuk dengan pihak mereka,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata syarikat pengendali umrah itu berdepan dengan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari selepas gagal menerbangkan 379 jemaah umrah ke Tanah Suci pada Selasa. – 15 Januari, 2025 

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related