PUTRAJAYA – Kelewatan dalam projek penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak akan mengganggu momentum Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu bagaimanapun tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Kerajaan bagaimanapun, katanya komited untuk memberikan kemudahan terbaik kepada semua delegasi yang terlibat.
“Perkara ini tidak dibincangkan jadi saya melihat perkara itu tidak berlaku masalah yang terlalu besar.
“Pada waktu ini beberapa kemudahan telah disediakan termasuk pengangkutan khusus untuk delegasi-delegasi rasmi, laluan khas di lapangan terbang merupakan kemudahan yang telah disediakan untuk tujuan pengurusan Asean 2025.
“Berkaitan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sudah pasti banyak daripada kemudahan dimaksudkan (Aerotrain) akan disediakan menjelang tahun ini tapi untuk maklumat terperinci boleh rujuk dengan pihak MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad),” katanya pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) masih tertangguh dengan kontraktor belum memberikan tarikh tetap untuk beroperasi.
Menurutnya, ketika ini masih di peringkat ujian oleh kontraktor dan mereka belum memberikan tarikh muktamad.
“Setiap hari orang tanya mengenai Aerotrain kepada saya dan saya yang kena jawab bagi pihak MAHB, tiada siapa tanya mereka.
“Semua orang tanya Menteri Pengangkutan, jadi saya kena jawab. Tapi kita kena faham bahawa keputusan itu dibuat oleh MAHB dan mereka sepatutnya bertanggungjawab juga,’’ katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
September tahun lepas, Loke berkata Aerotrain dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Januari ini.
Sebagai tuan rumah mesyuarat utama Asean, agenda Malaysia akan bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar Asean yang pertama di Langkawi bulan ini, diikuti dengan Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan Asean (SOM) di Pulau Pinang, Mei depan.
Dalam pada itu, Fahmi juga memaklumkan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelaburan sebanyak RM1 bilion susulan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Abu Dhabi, baru-baru ini.
Menurutnya, ia menunjukkan keyakinan negara Timur Tengah itu terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing yang memperkukuh daya saing ekonomi.
“Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam sebuah syarikat di Malaysia.
“Ini sudah pasti menunjukkan Malaysia terus jadi destinasi (pilihan) pelaburan asing untuk agensi-agensi seperti ADIA,” katanya.
Perdana Menteri kini berada di United Kingdom sempena lawatan kerja selama lima hari dan kemudian akan ke Brussels, Belgium bagi membincangkan potensi pelaburan asing ke dalam negara. – 15 Januari, 2025