SUNGAI BULOH – Kerajaan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM100 juta untuk memperkasa dan memperkukuhkan lagi agenda pemerkasaan ekonomi usahawan komuniti India.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan terbaharu itu merupakan yang terbesar pernah diperuntukkan kerajaan sejak Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) diperkenalkan pada 2008.
“Jika sebelum ini kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta, tapi kali ini ia ditambah sebanyak RM70 juta menggunakan dana dalaman Tekun Nasional, menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan untuk tahun ini adalah RM100 juta.
“Ia sekali gus membuktikan visi besar kerajaan Madani menerusi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan ekonomi Malaysia khususnya masyarakat kaum India lebih inklusif dan progresif.
“Peruntukan besar ini dijangka membawa manfaat langsung kepada lebih 4,500 usahawan masyarakat India, membuka pintu untuk mereka terus berkembang maju dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar,” katanya ketika merasmikan sambutan pesta Ponggal Vanakam Madani Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Kuil Dewi Sri Maha Karumariamman, di sini hari ini.
Menurut Ramanan dana RM100 juta itu akan disalurkan melalui dua Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big dan SPUMI, masing-masing memperuntukkan RM50 juta bagi membantu usahawan baharu dan sedia ada.
“Kedua-dua skim ini diilhamkan untuk memberikan sokongan menyeluruh, dari modal hingga bimbingan, agar usahawan India dapat meraih kejayaan yang mampan.
“Inisiatif ini adalah lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.
“Saya yakin dengan dana ini, masyarakat India bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan,” katanya.
Menurut Ramanan lagi, dana tambahan itu diperoleh menerusi dana dalaman Tekun Nasional yang tidak pernah dimanfaatkan oleh kerajaan pimpinan sebelum ini.
“Langkah ini sangat baik kerana ramai selalu bertanya kenapa jumlah peruntukan sama sahaja sejak beberapa tahun lalu… ini kerana kerajaan terdahulu tidak memanfaatkan dana dalaman dengan memberikannya kepada golongan usahawan yang memerlukan.
“Tapi kali ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberikan ‘lesen’ untuk menggunakannya agar ia dapat memberi lebih banyak manfaat dan kebaikan kepada golongan usahawan untuk memulakan dan memajukan perniagaan mereka.
“Perkara ini membuktikan kerajaan Madani adalah kerajaan ‘walk the talk’ dalam memastikan tiada mana-mana golongan ketinggalan dalam arus ekonomi negara,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2008, SPUMI telah menyaksikan kejayaan luar biasa dengan pembiayaan bernilai lebih RM500 Juta yang memanfaatkan 26,804 usahawan India di seluruh negara.
Pada tahun 2024 sebanyak RM58.9 juta telah disalurkan kepada 1,863 usahawan India, manakala skim SPUMI Goes Big yang dilancarkan pada tahun yang sama telah menyokong 287 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM12.6 juta.
Kelulusan dana SPUMI juga tidak melalui syarat yang ketat dan tempoh kelulusan permohonan hanya mengambil masa selama tujuh hingga 14 hari bekerja. – 14 Januari, 2025