KUALA LUMPUR – Internet telah membuka ruang baru bagi golongan muda untuk berkomunikasi dan berkenalan dengan orang baru.
Remaja banyak menggunakan laman media sosial untuk kekal berhubung dengan rakan-rakan dan kenalan baru. Namun, di sebalik kemudahan ini, terdapat ancaman serius di mana pemangsa dewasa mungkin cuba berinteraksi dengan anak-anak secara dalam talian.
Dalam kes yang lebih serius, ini boleh membawa kepada pertemuan di dunia nyata.
Baru-baru ini, kes yang membabitkan seorang pengguna TikTok, dikenali sebagai ‘Abang Bas’, telah mengejutkan rakyat Malaysia.
Tertuduh didakwa terlibat dalam komen lucah yang melibatkan kanak-kanak di media sosial, sekali gus menonjolkan ancaman pengantunan siber — satu isu yang semakin serius.
Kes ini mencetuskan perdebatan mengenai kelemahan dalam kawalan media sosial, terutamanya apabila melibatkan kumpulan kanak-kanak. Walaupun platform digital menyediakan peluang yang luas untuk pendidikan dan hiburan, ia juga menjadi medan subur untuk pemangsa siber menjalankan taktik licik mereka.
Setiap hari, dianggarkan terdapat 500,000 pemangsa aktif di Internet.dan empat daripada sepuluh kanak-kanak menutup tetapan privasi mereka untuk menarik lebih ramai ‘kawan’ atau pengikut di media sosial.
Kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun adalah antara yang paling mudah menjadi sasaran.
Sebanyak 89% daripada cubaan seksual berlaku di ruang sembang atau dalam talian. Empat peratus kanak-kanak menerima permintaan agresif daripada pemangsa, termasuk cubaan untuk menghubungi mereka secara peribadi.
Ahli psikologi Dr. Randy Dellosa menjelaskan bahawa mangsa pengantunan ataupun grooming, terutamanya golongan bawah umur, sering terperangkap dalam hubungan ini akibat ugutan, manipulasi psikologi, dan gaslighting.
Teknik-teknik ini digunakan oleh pemangsa dewasa untuk terus mengawal mangsa mereka, menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada situasi tersebut.
Sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang kian meningkat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan baharu bermula 1 Januari 2025.
Di bawah peraturan ini, setiap platform media sosial yang beroperasi di Malaysia perlu mendapatkan lesen sah. Ini dijangka meningkatkan akauntabiliti syarikat-syarikat besar teknologi seperti Meta, ByteDance, dan Google.
Namun, adakah langkah ini cukup untuk mengekang ancaman grooming siber yang semakin menular? MCMC percaya ia satu permulaan yang baik. Dengan pengawalseliaan lebih ketat, platform perlu bertanggungjawab atas kandungan yang disiarkan oleh pengguna mereka.
ini termasuk menghapuskan kandungan berbahaya dengan lebih pantas dan mengambil tindakan tegas terhadap akaun yang terlibat dalam aktiviti mencurigakan.
Di samping itu, pengawalseliaan ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih cepat apabila berlaku kes grooming atau eksploitasi kanak-kanak.
Kes seperti Abang Bas hanya sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar.
“Media sosial adalah tempat bermain untuk kanak-kanak, tetapi ia juga menjadi taman permainan bagi pemangsa,” kata seorang aktivis tempatan.
Dengan adanya rangka kerja baharu ini, kita berharap dapat melihat platform bertanggungjawab sepenuhnya dalam melindungi pengguna mereka yang paling terdedah.
Di bawah rangka kerja baharu MCMC ini, penyedia platform media sosial seperti TikTok, Instagram, dan Facebook perlu mendapatkan lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Langkah ini bertujuan meningkatkan akauntabiliti platform dalam mengawal kandungan yang dikongsikan.
Dengan adanya lesen ini, penyedia platform bertanggungjawab untuk memastikan kandungan yang tidak sesuai, termasuk bahan berkaitan eksploitasi kanak-kanak dan penipuan dalam talian, dihapuskan serta dipantau dengan lebih ketat.
Ini juga akan memudahkan pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih pantas sekiranya terdapat kesalahan yang berlaku dalam talian.
Langkah pengawalseliaan oleh kerajaan dan MCMC sahaja tidak cukup untuk mengekang ancaman grooming siber.
Sebagai pengguna, kita juga perlu bertindak lebih proaktif. Netizen perlu peka terhadap tanda-tanda mencurigakan, sama ada dalam komen, mesej, atau interaksi yang dilihat di platform.
Setiap laporan daripada pengguna boleh menjadi faktor yang menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada menjadi mangsa seterusnya.
Pendidikan tentang bahaya dunia digital juga perlu diperluaskan, bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada ibu bapa dan penjaga.
Dalam dunia yang semakin maju teknologi, anak-anak sering lebih terdedah kepada internet berbanding ibu bapa mereka. Ahli psikoanalisis terkenal, Sigmund Freud, mencadangkan bahawa kita sering mencari ciri-ciri yang menyerupai ibu bapa ketika memilih pasangan.
Ini mungkin menjelaskan mengapa sesetengah kanak-kanak tertarik kepada individu yang lebih tua kerana ibu bapa tak mampu berikan sokongan emosi.
Justeru, mendidik keluarga tentang risiko dan cara mengenal pasti tanda-tanda grooming siber adalah sama pentingnya dengan sebarang tindakan pengawalseliaan yang dibuat oleh kerajaan.
Kita juga perlu terus mendesak syarikat teknologi untuk meningkatkan usaha mereka dalam menghapuskan kandungan yang tidak sesuai dan memperkenalkan ciri keselamatan yang lebih ketat, terutamanya bagi akaun kanak-kanak.
Pemantauan secara algoritma sahaja tidak mencukupi; intervensi manusia juga diperlukan untuk menangani kes-kes grooming siber yang semakin canggih.
Tindakan Anda Penting! Jika anda melihat sebarang aktiviti mencurigakan, jangan tunggu. Laporkan kepada pihak berkuasa atau platform media sosial. Bersama-sama, kita boleh menghalang pemangsa siber dan melindungi kanak-kanak kita daripada menjadi mangsa seterusnya. – 15 Januari, 2025