KUALA LUMPUR — Laporan polis telah dibuat ke atas kedai serbaneka KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) kerana menjual `sandwic ham’ yang mengandungi logo halal, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh.
Menerusi video dalam Facebook, Akmal berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana ia merupakan insiden kedua melibatkan kedai serbaneka berkenaan yang telah menyentuh sensitiviti orang Islam.
Beliau berkata, ‘ham’ dikaitkan dengan daging khinzir.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau meminta polis dan agensi terbabit untuk menyiasat isu sandwic berkenaan yang dilaporkan oleh penuntut UM pada 10 Januari lalu dan mengambil tindakan segera.
“Kita terima jika ia dijual untuk orang Cina, India atau bukan Melayu, tetapi mengapa ada logo halal tertera di belakang (bungkusan) itu,”
“Saya nak tanya kepada KK Mart, bila masa ‘ham‘ ini halal dan bagaimana produk ini dapat logo halal.
“Jadi KK Mart, tahun lepas isu stokin masih lagi kita marah. Masih lagi terasa di hati. Kali ini isu Ham and Cheese dapat logo halal dan dijual di KK Mart dalam Universiti Malaya.
“Bagaimanakah produk-produk dalam KK Mart ini kalau dah tanda logo halal, apakah jaminan halal ni. Kalau Ham and Cheese ini pun dapat logo halal, yang lain-lain produk macam mana,’’ soal Akmal.
Beliau turut menunjukkan gambar logo halal yang tertera pada bungkusan sandwic berkenaan.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Pada 26 Mac 2024, pengasas dan pengarah eksekutifnya rangkaian kedai serbaneka itu, Datuk Seri Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana sengaja melukakan perasaan keagamaan orang Islam, dengan memaparkan stoking bertulis ‘Allah’ di rak jualan di satu daripada cawangan premis mereka.
Pada Julai, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan (DNA) Chai serta isterinya selepas pendakwaraya tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas mereka.
Bagaimanapun, Chai dan Loh didenda RM60,000. Syarikat penjual juga didenda dengan jumlah yang sama.
Chai telah meminta maaf secara terbuka dan menghentikan penjualan stokin itu. – 13 Januari, 2025