KUALA LUMPUR – Penganjur Karnival Havoc Food Festival (HFI) kesal kerana tiada perbincangan dilakukan dengan pihaknya sebelum arahan menghentikan penganjuran acara tersebut di Setapak dijalankan serta merta.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd, Firdaus Nadxaman (CEO) berkata, pihaknya telah memohon permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mempunyai bukti permohonan dibuat.
Sepatutnya, kata Firdaus, pertimbangan dibuat oleh pihak berkuasa dalam isu ini termasuk kos yang dikeluarkan oleh penganjur dan vendor yang berjumlah kira-kira RM1 juta.
Firdaus berkata, pihaknya bagaimanapun akur dengan arahan tersebut.
“Bila kata permit tak lulus itu tak tepat lah. Kena tahu kronologi bagaimana kami mohon permit. Patut kita boleh berbincang secara berhemah.
“Cara permohonan pada DBKL pun kami simpan. Kami dah biasa dalam permohonan permit malah bagi kami, ini adalah acara ke-44. Untuk mohon permit kami dah biasa.
“Kami dah keluarkan kos setengah juta (ringgit). Manakala 60 vendor sudah membayar sewa tapak dan membeli bahan mentah, jika dicampur dengan vendor ia berjumlah RM1 juta,’’ katanya menerusi klip video yang dimuatnaik dalam Instragram Havoc Food Festival.
DBKL sebelum ini telah mengarahkan penganjuran Karnival Havoc Food Festival supaya menghentikan operasi serta-merta berikutan aduan kesesakan lalu lintas teruk yang menjejaskan penduduk setempat.
Menurut Nik Nazmi, pesta itu juga diadakan tanpa lesen hiburan yang sah daripada DBKL.
“Disebabkan kesesakan lalu lintas yang melampau sehingga mengganggu penduduk di kawasan itu, pejabat saya menyusuli dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Berikutan itu, DBKL telah mengarahkan penganjur Karnival Havoc Food Festival untuk menghentikan acara itu bermula hari ini,” katanya.
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan berkata pejabatnya menerima banyak aduan daripada penduduk sejak acara itu bermula.
Mengulas mengenai kesesakan melampau, Firdaus berkata perkara berkenaan berlaku pada hari pihaknya menyediakan karnival itu dan telah mengambil langkah untuk menyelesaikannya pada hari pertama penganjuran karnival.
“Trafik yang sesak ini berlaku pada hari ‘set up’ kami dah cuba sedaya upaya untuk selesaikan tempat letak kereta. Kami dah ambil langkah (selesaikan) pada hari pertama acara dijalankan untuk selesaikan masalah parkir dan trafik.
“Anggota Rela ditambah sehingga 30 orang untuk kawal trafik dan berurusan dengan pemilik tapak untuk tambah tapak parkir,’’ katanya yang turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Rela, pemilik tapak serta persatuan penduduk mengenai acara tersebut. – 12 Januari, 2025