KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) mengesahkan 27 daripada 161 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Kampung Pandan di sini pada April 2024 adalah pegawainya.
Menerusi maklumat yang tidak didedahkan, 161 individu itu ditahan di kelab berkenaan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) Bukit Aman.
Berdasarkan laporan polis yang diperoleh Scoop, pihak berkuasa menyerbu Mansion 9, yang terletak di Jalan Kampung Pandan, pada 26 April 2024 pada jam 1.30 pagi berikutan maklumat mengenai aktiviti berkaitan dadah di premis itu.
Bagaimanapun, difahamkan, pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan dalam serbuan itu dibebaskan selepas didapati negatif dadah.
Sumber ketika dihubungi Scoop mengesahkan mengenai serbuan di kelab malam itu yang turut membabitkan beberapa pegawai Imigresen yang sedang berhibur.
“Memang betul kejadian itu berlaku namun difahamkan rata-rata yang ditahan membabitkan pegawai muda.
“Kes itu sudah lama dirujuk ke bahagian tatatertib, namun saya tiada maklumat lanjut mengenai sama ada pegawai yang terbabit masih berkhidmat di sini atau ditukar bahagian,” katanya hari ini.
Kelab malam berkenaan dipercayai dimiliki oleh Alvin Goh, yang sebelum ini mengejutkan negara apabila dilaporkan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan sebuah kenderaan menunggu di luar pagar, pada 2020.
Bagaimanapun selepas 15 hari melarikan diri, pada 27 Oktober 2020, dia ditahan di Genting Highlands bagi siasatan kegiatan Macau Scam, judi dalam talian dan penggubahan wang haram. Penahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)
Sehari selepas ditahan, Alvin menafikan penglibatan dalam aktiviti berkenaan menerusi satu video yang dipercayai dimuatnaik ke media sosial oleh rakannya.
Pada April 2021, Alvin Goh dan adik lelakinya Goh Yeong Hui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tujuh pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.14 juta
Pada April 2022, Alvin dibebaskan selepas setahun setengah dikenakan perintah tahanan di bawah POCA.
Dalam pada itu, laporan polis yang difailkan oleh pegawai NCID itu turut menyatakan bahawa pemilik kelab malam itu ditahan dalam serbuan tersebut kerana menggaji seorang pendatang tanpa izin.
Selain itu, sepuluh individu telah ditahan kerana melanggar syarat permit kerja mereka.
Serbuan itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, pada Julai 2023, menggesa pegawai di agensi tersebut supaya menjaga integriti jabatan dan mengelakkan salah laku.
Malah Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban baru-baru ini mengulangi komitmen jabatan itu terhadap akauntabiliti.
Zakaria turut mengumumkan rancangan untuk mengukuhkan pengawasan dan melaksanakan langkah lebih ketat untuk mencegah insiden serupa yang melibatkan kakitangannya.
Pada November 2019, JIM mengeluarkan pekeling melarang kakitangan berada di kawasan berisiko tinggi seperti pusat hiburan, rumah urut, pusat premis perjudian atau seumpamanya yang boleh menimbulkan syak dan persepsi negatif terhadap organisasi, kecuali dengan kebenaran Pengarah atau atas tugasan rasmi.
Kehadiran pegawai dan kakitangan JIM di lokasi-lokasi ini boleh mendatangkan imej negatif kepada JIM apabila terdapat serbuan oleh agensi penguatkuasa yang lain. – 9 Januari, 2025