KUALA LUMPUR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penurunan harga belian padi antara RM1,500 hingga RM1,800 kepada RM1,300 satu tan metrik yang disifatkan tidak lagi relevan.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga ini adalah tidak adil malah langsung tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.
Beliau berkata, harga belian yang diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) itu juga dibuat tanpa mengambil kira suara komuniti pesawah.
“PeSAWAH kesal dengan perbincangan penetapan harga padi yang dijalankan oleh pihak kementerian bersama pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah sekali gus menafikan suara dan hak kami.
“Harga padi minimum RM1,300 yang ditetapkan pada 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan.
“Pelbagai kos telah melambung tinggi termasuk kos benih padi naik dua kali sejak 2023, terkini naik mendadak kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) berbanding RM45 pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Rashid, harga belian yang ditetapkan itu tidak lagi relevan apabila kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur dan membaja turut meningkat.
“Kos sewa tanah turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini. Kos racun kimia melambung tinggi, hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, lebih mendukacitakan apabila permasalahan utama yang dihadapi pesawah iaitu harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kg sejak 2014 tidak pernah diambil perhatian serius.
“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima harga beras baharu lebih relevan iaitu RM3.60 per kg bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi.
“Langkah ini juga dapat membantu mengangkat taraf hidup pesawah yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan,” katanya.
Berikutan itu pihaknya menggesa kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira kenaikan kos pengeluaran padi mendadak, pendapatan dan kebajikan pesawah serta harga beras tempatan yang realistik.
“Jika kerajaan masih mahu mengekalkan harga beras kepada RM2.60 sekilo dan menurunkan harga padi kepada RM1,300 per tan, kementerian juga mesti menurunkan kos benih padi sah kepada RM45 per beg dan kos-kos lain.
“Jangan berhenti setakat kilang dan memaksa pesawah yang sedia miskin menanggung kos makanan ruji orang yang lebih kaya,” katanya. – 8 Januari, 2025