KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menyekat operasi penyedia platform media sosial yang didapati melanggar undang-undang yang ditetapkan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Anggota Suruhanjaya MCMC, Derek Fernandez berkata pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan seperti itu untuk menghukum penyedia platform terbabit kerana langkah menyekat akses orang ramai ke media sosial tidak akan menguntungkan mana-mana pihak dalam jangka masa panjang.
“Kerajaan mempunyai keupayaan untuk menghentikan platform itu (daripada beroperasi di Malaysia), tetapi apabila kita menghentikannya, semua orang akan mengalami sindrom pengeluaran digital dan mengeluh,’’ kata Derek sambil berseloroh ketika menjadi apanel pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 di sini, semalam.
“Kita tidak mahu berbuat demikian. Kita berupaya untuk menyekat atau menghalang mereka daripada beroperasi di negara ini, tetapi kita tidak mahu berbuat demikian.
“Negara perlu mesra perniagaan dan nuetral dari segi teknologi. Kita berpendirian semua orang dialu-alukan untuk menjalankan perniagaan di sini, tetapi mesti menghormati undang-undang negara,’’ katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyalahgunaan Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat MCMC.
Derek berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada penyedia platform yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan, yang membawa kepada peningkatan jenayah siber, akan dipertanggungjawab atas tindakan tersebut.
Derek adalah antara ahli panel dalam perbincangan bertajuk ‘International Cooperation in Online Regulation: Reflections on Practice’ yang dikendalikan oleh Ketua Korporat dan Antarabangsa MCMC, Syahrilazli Mahammad.
Ahli panel lain ialah penasihat pengawasan penguatkuasaan untuk Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil, Marcel Fleury Pinto dan ketua pegawai operasi, maklumat dan pos Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia, Dian Wulandari.
Derek berkata, sama seperti undang-undang di Malaysia, peraturan di Brazil dan Indonesia juga memberikan keupayaan kepada kerajaan negara tersebut untuk menyekat akses pengguna kepada platform media sosial, terutama jika ada pihak tidak bertanggungjawab melanggar peraturan.
Bulan lalu, Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia mengambil tindakan terhadap 221,116 kandungan digital, akaun media sosial dan laman web yang didapati mempromosi judi dalam talian, yang merupakan satu jenayah di Indonesia.
Bercakap dalam forum berkenaan, Dian menyatakan walaupun Indonesia bersedia untuk merundingkan beberapa kelonggaran bagi laman digital yang dapat mematuhi keperluan undang-undang dalam tempoh masa tertentu, namun negara itu tidak bertolak ansur dengan judi dalam talian.
Pada masa sama, Brazil telah mengenakan larangan hampir dua bulan ke atas platform media sosial X milik jutawan teknologi Elon Musk selepas laman web itu, yang mempunyai lebih 22 juta pengguna di Brazil, gagal mematuhi undang-undang negara tersebut.
Walaupun platform itu disekat pada Ogos tahun lalu kerana kegagalan Musk menamakan wakil tempatan dan membayar denda berjuta-juta dolar, seorang hakim mahkamah agung menarik balik penggantungan itu pada Oktober selepas Musk akur dengan syarat tersebut.
Musk dilaporkan mula mematuhi perintah mahkamah dengan menyekat akaun tertentu yang dinamakan oleh badan kehakiman untuk maklumat salah dan kandungan melampau.
Sementara itu, Derek berkata walaupun tidak dinafikan manfaat yang disediakan oleh platform media sosial kepada orang ramai dan ekonomi negara namun ada kalanya ia disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mengulangi langkah kerajaan memperkenalkan keperluan pelesenan untuk platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di sini, bertujuan memastikan orang ramai dilindungi daripada jenayah dalam talian, daripada penipuan sehingga eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Menegaskan bahawa pelesenan tidak boleh dianggap sebagai perkara yang ‘membebankan’ untuk platform media sosial, Derek berkata perbincangan sedang diadakan dengan wakil X dan Google mengenai isu masing-masing.
“X menyatakan mereka belum mencapai lapan juta pengguna di sini dan mendakwa hanya ada tujuh juta pengguna di Malaysia. Kita sedang mengesahkannya untuk memastikan jumlah yang kita ada itu tidak termasuk akaun atau bot palsu,” katanya.
“Google telah mengambil pendirian dari segi undang-undang bahawa YouTube bukan platform media sosial, tetapi perlu difahami bahawa pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia bukan hanya meliputi laman media sosial, tetapi juga platform pemesejan dalam talian,” tambahnya.
Semalam, Telegram telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikan ia penyedia ketiga yang diberikan kelulusan itu selepas Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok), untuk beroperasi di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp kini masih dalam proses menyerahkan beberapa dokumen sebelum mendapatkan lesen. – 8 Januari 2024