Titah Adendum wujud: Perjuangan Zahid bela nasib sahabat sejati berjaya

Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah

7:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Imej dan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno dilihat tidak goyah biarpun sebelum ini terdengar ura-ura mengatakan akar umbi parti berkenaan ‘memandang serong’ terhadap beliau membabitkan Titah Adendum berkenaan penahanan dalam rumah (house arrest) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata tiada sebarang imej negatif yang terpalit melibatkan kepercayaan ahli parti terhadap Zahid kerana jasa besar Zahid dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam mengemukakan afidavit Titah Adendum pada tahun lalu.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan. – Gambar Bernama, 7 Januari, 2025

“Saya melihat sebaliknya (tiada imej negatif terhadap Zahid) kerana Datuk Seri Ahmad Zahid dan Datuk Wan Rosdy kerana mereka telah membuktikan dengan penyerahan afidavit dan memang benar Titah Adendum itu wujud.

“Kita melihat Zahid daripada sudut positif, bukan negatif dan ia terbukti bukan kerajaan atau Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menyorokkan Titah Adendum itu tetapi pihak lain.

“Jadi saya melihat episod semalam kemuncaknya dan apa yang diperjuangkan pemimpin Umno termasuk Zahid dan Wan Rosdy (terbukti benar). Kalau sebelum ini ada pandangan serong (terhadap Zahid) namun ia telah ditutup dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan surat daripada Istana Pahang yang bertarikh 4 Januari lalu,” katanya kepada Scoop.

Menurut Azmi, walaupun PAS dilihat begitu ‘bersemangat’ memperjuangkan nasib Najib berkenaan kewujudan Titah Adendum, namun ia langsung tidak akan mengubah hala tuju sokongan ahli Umno terhadap Zahid.

Ini kerana menurutnya, sebagai ahli Umno yang rasional, mereka pastinya mengetahui strategi yang dilakukan PAS pada ketika ini adalah sekadar untuk kepentingan politik parti itu semata-mata.

“Bagi ahli Umno yang rasional pasti tahu yang PAS ini bersungguh-sungguh adalah kerana untuk manfaat politik mereka yang mana PAS cuba menggambarkan (seolah-olah) Umno itu lemah, tidak berkuasa untuk melawan DAP dan Pakatan Harapan dalam kes Datuk Seri Najib ini.

“Saya pasti sebahagian besar ahli Umno tidak termakan dengan taktik dan strategi PAS yang akan melakukan apa sahaja untuk meraih simpati politik terutama sekali daripada ahli-ahli Umno,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan perjuangan Zahid Hamidi dalam membela nasib sahabat sejatinya telah berjaya.

“Semalam dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguambela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menunjukkan dan mengesahkan bahawa Titah Adendum yang diperoleh dari Istana Pahang adalah sah serta wujud kebenarannya.

“Di media sosial juga berlegar salinan surat dari Istana Pahang. Fasa teka-teki ada atau tidak Titah Adendum telah selesai.

“Pertaruhan Datuk Seri Zahid Hamidi yang memperjudikan nasib politiknya apabila menyaman kerajaan dengan afidavit sokongan telah berjaya. Jangan kata Zahid ‘tak payung’ dalam kes Titah Adendum ini… ramai dalam kalangan ‘haters’ Zahid cuba menutup peranan penting yang dilakukan beliau,” katanya.

Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Semakan kehakiman itu adalah satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu. – 7 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related