PUTRAJAYA – PAS akan tetap turun membela sesiapa pun rakyat Malaysia yang dizalimi haknya termasuk sekiranya ia melibatkan pimpinan DAP, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS bukan hendak bercakap besar namun sejak dahulu lagi parti itu sentiasa bersama-sama dengan mereka yang dizalimi.
“PAS ada kena mengena dengan semua rakyat Malaysia sebab PAS parti yang ditubuhkan di Malaysia dan sesiapapun haknya dizalimi walaupun namanya Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang sekali pun kami akan turun untuk membela.
“Jadi apatah lagi Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada negara ini, beliau sepatutnya diberikan haknya untuk titah adendum yang memberikan tahanan di rumah. Jadi sangat-sangat patut kita turun bersolidariti untuk beliau.
“PAS bukan hendak bercakap besar tapi kita dari dahulu lagi sentiasa bersama-sama dengan mereka yang dizalimi. Soal takut tidak ada dalam kamus perjuangan kami,’’ katanya ketika ditemui pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, PAS pernah bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dipecat dari kerajaan dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita bersama dengan beliau (Anwar), kami juga bersama dengan Tun Mahathir Mohamad ketika beliau di luar kerajaan, samalah seperti hari ini untuk Najib dalam isu membela keadilan dan menentang kezaliman yang berlaku,’’ katanya.
Beliau juga memberitahu, kehadiran ramai ahli Umno bagi menyatakan sokongan kepada Najib dilihat satu isyarat kepada Presiden parti itu bahawa Umno perlu berubah.
“Kalau Presiden Umno kata pada hari ini risiko tanggung sendiri, lihatlah berapa ramai orang Umno yang datang hari ini.
“Ini menunjukkan orang Umno, akar umbi sendiri tidak percaya dan mengabaikan arahan presiden mereka
“Ini signal yang kuat kepada Umno bahawa mereka perlu berubah sebelum mereka diubah ahli mereka sendiri,” katanya.
Selain itu katanya, keadaan himpunan juga sangat aman dan tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
“Tidak ada kereta yang diterbalikkan, pasu bunga dipecah atau laungan yang mengutuk kerajaan seperti yang telah saksikan beberapa tahun lepas.
“Saya minta rakyat Malaysia bersatu hati, sampah sudah banyak di halaman, kita perlu mengikat lidi dengan baik, jangan ada yang terlepas untuk menyapu sampah di halaman. Kejutkan kawan-kawan dan saudara kerana daun kaduk dah nak naik junjung, tebas dan tebang daun ini yang menyebabkan semak samun,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim membawa rombongan penyatuan ummah juga hadir untuk mendengar keputusan rayuan Titah Adendum Najib.
“Saya datang nak dengar keputusan Titah Adendum, ini bukan soal Najib layak atau tidak layak.
“Kalau benar wujud Titah Adendum, laksanakanlah,” ujar Shahidan.

Dalam pada itu, adik kepada Presiden Umno, Datuk Abdul Hakim Hamidi membidas tindakan abangnya yang menyekat ahli parti itu untuk bersolidarti dengan Najib.
Katanya, tindakan itu tidak sewajarnya berlaku kerana himpunan ini merupakan solidariti kepada bekas presiden Umno.
“Namun, demi menjaga hubungannya dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Zahid mengenepikan Najib.
“Ia sepatutnya mengasingkan antara pentadbiran dan solidariti, ini solidariti untuk bekas presiden Umno.
“Tapi demi hubungannya dengan yang nombor satu (Anwar), dia sanggup menghalang ahli Umno daripada turun bersolidarti,” dakwa Abdul Hakim yang kini ahli PAS seumur hidup. – 6 Januari, 2025