Keputusan tak terus himpunan: jelaskan pada akar umbi, elak PAS ‘pancing’ ahli: Umno Negeri

Menghairankan apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga tiba-tiba mahu bersolidariti untuk Najib, kata Ahli MKT Umno

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemimpin Umno perlu bertindak segera dengan memberikan penjelasan kepada akar umbi mengenai keputusan tidak meneruskan Himpunan Solidariti Najib, yang dijadualkan hari ini.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin ketika dihubungi Scoop berkata, ini kerana PAS yang tetap meneruskan himpunan itu akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menarik sokongan akar umbi Umno.

“Mereka nak tunggang dan nak tarik ahli Umno yang simpati pada DS (Datuk Seri) Najib, totally politics, bukan prinsip. Jadi pucuk pimpinan parti kena bertindak segera. Beri penjelasan, pimpinan kena turun padang,’’ katanya kepada Scoop ketika dihubungi.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. – Gambar fail Bernama, 6 Januari, 2025

Beliau mengulas mengenai keputusan PAS untuk tetap meneruskan penyertaan dalam Himpunan Solidariti Najib meskipun polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertainya, kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan ahli Umno bahawa mereka perlu menanggung sendiri risiko sekiranya hadir pada himpunan terbabit.

Hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Raffi berkata pendirian PAS untuk meneruskan himpunan itu bukan sesuatu yang luar biasa berdasarkan rekod parti pembangkang itu.

Razlan turut hairan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turut sama mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahu memperjuangkan nasib Najib demi meraih kepentingan politik semata-mata.

“PAS ni parti pembangkang jadi mereka akan mengambil apa saja ruang untuk cuba dapatkan perhatian yang (mana) akhirnya mereka ini ada tujuan lain untuk ‘menebuk atap’ demi kepentingan politik.

“PAS sebelum ini juga pernah baring atas jalan melawan (perintah) Istana Negara dan selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) juga mereka menolak untuk tubuhkan kerajaan seperti yang disarankan pihak Istana Negara… jadi perkara-perkara seperti ini adalah kelaziman dan budaya bagi PAS.

“Tapi yang paling kita hairan sekali bila akhirnya Hamzah pun tiba-tiba nak bersama juga (bersolidariti untuk Najib),” katanya kepada Scoop.

Terdahulu Hamzah dilaporkan berkata suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan Titah Adendum terhadap Najib adalah hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ia tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak setelah menjadi isu kepentingan awam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Raffi. – Gambar fail Bernama, 6 Januari, 2025

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sokongan akar umbi Umno yang mungkin akan ‘berpaling tadah’ kepada perjuangan Pas selepas dilihat memperjuangkan nasib Najib, Razlan percaya semua ahli Umno sudah ‘masak’ dengan taktik politik yang dimainkan PAS.

“Bagi saya, orang Melayu semua kena sedar PAS dan PN tidak pernah memperjuangkan Melayu, sebaliknya menunggang isu-isu sebegini untuk kepentingan politik mereka.

“Saya percaya akar umbi Umno semua ini tetap bersama dengan Umno dan apa yang PAS buat itu untuk memecah belah Umno daripada dulu sehingga sekarang.

“Ahli umno yang tak dapat penjelasan yang sebenarnya ataupun telah ‘dirasuk’ (dipengaruhi) oleh PAS ini mungkin akan ada segelintir sahaja tetapi saya yakin ahli Umno tetap selamanya bersama UMNO,” katanya. – 6 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Related