KUALA LUMPUR – Himpunan Solidariti Najib pada Isnin ini dilihat sebagai usaha berterusan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Datuk Seri Najib Razak dilepaskan dengan tahanan di rumah.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, ia tujuan sebenar himpunan itu diadakan dan boleh mewujudkan dilema kepada Perdana Menteri.
“Maka akan berhimpunlah beribu atau mungkin berpuluh ribu penyokong Najib Razak dari Umno, PAS dan Bersatu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 6 Januari ini.
“Kasihan dan simpati saya kepada Anwar yang jadi Perdana Menteri dalam keadaan sekarang di mana Najib Razak Perdana Menteri ke-enam itu sedang menuntut dibebaskan dari penjara dengan diletakkan dalam tahanan di rumah.
“Parti Umno dan BN yang merupakan rakan gabungan terkanan dalam Kerajaan Madani sedang menekan Anwar sebagai Ketua Kerajaan supaya Najib dilepaskan dengan tahanan di rumah.
“Itu tujuan sebenar perhimpunan 6 Januari ini,” katanya hari ini.
Hassan berkata, perlu disorot semula sejarah Anwar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 di mana Perdana Menteri merupakan orang yang paling awal di Parlimen selaku Ketua Pembangkang membangkitkan isu IMDB.
“Sekarang Anwar jadi Pendana Menteri dan Menteri Kewangan amat menyedari betapa parahnya Malaysia dari segi ekonomi dan kewangan angkara skandal penyelewengan rasuah 1MDB yang telah merugikan kewangan negara melebihi RM50 bilion.
“Jadi di sinilah letaknya dilema Anwar. Apakah ia sebagai Perdana Menteri perlu berlembut terhadap Najib Razak?,” soalnya.
Sementara itu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, pemimpin Umno perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan Perpaduan.
“Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sering menekankan kepentingan untuk saling menghormati dalam kalangan parti komponen kerajaan.
“Bagaimana kita boleh menuntut pihak lain menghormati Umno jika pemimpin Umno sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan.
“Adakah tindakan menyerang rakan komponen tersebut adil dan wajar terutamanya ketika negara memerlukan kestabilan,” soalnya.
Beliau berkata, AMK menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik untuk menghormati institusi raja dan Perlembagaan negara.
“Pengampunan diraja jelasnya, bukan isu untuk dipolemikkan secara politik sebaliknya adalah satu cabang keadilan yang ada dalam sistem perundangan negara.
“Sebarang kenyataan berkaitan isu ini haruslah berdasarkan fakta yang tepat, konsisten, dan bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng agar tidak menyinggung perasaan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Ia susulan kenyataan Guan Eng yang membidas Umno kerana parti itu bersama dengan PAS akan mengadakan Himpunan Solidariti Najib Razak di Putrajaya pada Isnin ini.
Ini kerana Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – 3 Januari, 2025