KUALA LUMPUR — Siasatan awal polis mendapati tujuh individu termasuk empat yang meninggal dunia selepas menghadiri Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway pada malam sambutan Tahun Baharu, dipercayai mengambil pil ecstasy.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun berkata, polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kematian.
Jelasnya, polis mengesahkan sehingga kini telah menerima enam laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Namun, katanya, semua tujuh mangsa tidak hadir bersama-sama di konsert tersebut tetapi hadir secara berasingan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing.
“Kedua-dua hospital ini telah menerima tujuh orang pesakit yang telah menunjukkan simptom yang sama.
“Empat daripada mereka telah meninggal dunia (seperti yang dilaporkan sebelum ini) manakala dua pesakit masih menerima rawatan di ICU dan seorang lagi telah dicaj dari hospital,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, empat individu maut selepas selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway.
Mereka yang maut adalah dua lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, polis telah membuka empat kertas siasatan mati mengejut (SDR) lanjutan kematian itu untuk mengenalpasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.
Sehingga kini, katanya, enam percakapan saksi telah dirakamkan.
”Beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk bantu siasatan termasuk pihak penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa,” katanya. – 2 Januari, 2025