KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan PAS sebagai ‘jin politik’ yang menonjolkan imej suci untuk memanipulasi agama bagi menipu rakyat.
Beliau turut mendakwa niat PAS menerusi himpunan Solidariti Bersama Najib Razak pada 6 Januari ini tidak lebih kepada usaha untuk ‘cari makan’.
“Hari ni pula PAS nak jadi pembela Najib dan nak turun ramai-ramai pada perhimpunan 6 Januari ni sebab nak cari makan, macam RM90 juta yang Najib bagi pada 2018 untuk ‘kalahkan’ Umno.
“Mungkin sekarang ni lebai PAS nak cari duit baru lagi dari Najib tu sebab Bersatu pun dah pokai.
“…dan bila PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cakap nak buat PRU (pilihan raya umum) awal, PAS menggelabah sebab mereka sekarang ni takde pitih! (tiada duit),” katanya hari ini.
Beliau berkata, pemimpin parti Islam itu sering bercakap seolah mereka ini wakil syurga, namun baginya PAS bukan ‘malaikat politik’ tapi lebih kepada ‘jin politik’ berikutan pandai memanipulasi agama demi kepentingan sendiri.
“Fatwa politik mereka berubah ikut selera. Dulu kawan Umno satu jihad untuk ummah tapi bila bermusuh, Umno pula dikafirkan. Sama juga dengan DAP – masa berkawan, DAP bagus; bila bergaduh, DAP jadi komunis.
“Mereka ni ‘jin politik’ yang pandai bermain imej suci untuk menipu rakyat. Jangan tertipu ya,” katanya.
Bercakap kepada Scoop, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin bagaimanapun menafikan tindakan mereka mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak demi kepentingan politik parti itu.
Beliau berkata, ia bagi menunjukkan solidariti bersama Najib dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum melibatkan tahanan rumah selain demi semangat penyatuan ummah tanpa mengira fahaman politik.
“Saya lihat perhimpunan berkenaan sebagai satu hikmah bagi menyatupadu kembali PAS dan Umno khususnya penyokong Najib yang dilihat lebih ke arah semangat penyatuan itu sebagaimana kerjasama Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
“Perhimpunan berkenaan juga merupakan detik sesuai kepada gerakan penyatuan ummah di mana parti-parti politik Melayu Islam bersatu dan berkumpul bersama bagi menyatakan solidariti terhadap Najib.
“Kita juga tidak akan halang ahli kita untuk bersama dalam himpunan itu nanti,” katanya.
Sementara itu Ahli MKT Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan Umno tidak pernah berbincang apatah lagi mahu bekerjasama dengan PAS untuk menganjur himpunan berkenaan.
“Umno sudah merancang lebih awal sebelum PAS keluar surat meminta ahlinya hadir perhimpunan tersebut,” katanya.
Semalam Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Himpunan Solidariti Najib Razak oleh Umno bersama PAS pada 6 Januari ini tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, ia hanyalah untuk solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu.
Justeru beliau membidas pengerusi DAP, Lim Guan Eng kerana mempersoalkan himpunan yang akan diadakan di hadapan Kompleks Mahkamah di Putrajaya itu.
Sebelum ini tular memo dalaman daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai himpunan Solidariti Bersama Najib Razak itu yang dikeluarkan kepada pesuruhjaya PAS Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti tersebut.
Pada 6 Januari ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Di-pertuan Agong (YDPA) terdahulu.
Terdahulu, Guan Eng mengingatkan Umno sebarang program bersama PAS akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan. – 1 Januari, 2025