KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun tidak semua keputusan dan kebijakan (dasar) kerajaan adalah popular atau membuahkan hasil yang cepat, namun semua itu dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas.
Perdana Menteri dalam amanat sempena Tahun Baharu 2025 memberitahu, keputusan yang diambil itu adalah dengan niat ikhlas dan penilaian teliti bagi memastikan dasar-dasar tersebut memberi manfaat kepada rakyat.
Apatah lagi pada 2025, Malaysia akan memulakan tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean justeru prinsip striving for excellence harus dijunjung di mana negara harus teratur dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras bagi melangkau ke rantau dan pasaran antarabangsa
Beliau juga menekankan kepada Ekonomi Madani yang diluncurkan pada 27 Julai 2023, memungkinkan hala tuju yang jelas bagi membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia dan atas ikhtiar itu, Kerajaan menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula pada tahun ini.
“Sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan oleh kerajaan Madani menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang
disalurkan kepada pihak yang paling kaya, yang saya sebut sebagai mahakaya dan orang asing tiga (3) setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi.
‘Alhamdulillah, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini itu ditambah RM10 bilion yang merupakan jumlah yang terbesar dalam sejarah.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan, Kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya,’’ katanya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, kerajaan juga giat menangani gejala fenomena kenaikan kos melalui Program Payung Rahmah di seluruh negara dan pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang mencatut harga dengan sewenang- wenangnya.
Pada masa sama, Anwar memberitahu keadaan ekonomi semasa harus ditangani dengan bijak kerana ia juga melibatkan apa yang belum diduga, yang berlaku separah ini iaitu musibah banjir yang berlaku mutakhir ini.
Kerajaan, katanya memberi jaminan usaha terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera dan kerja pemulihan dilaksanakan secepat mungkin oleh semua agensi Kerajaan Pusat, Persekutuan dengan kerjasama jentera Negeri dan Kerajaan Tempatan atau jajahan.
“Operasi kesiapsiagaan sejak awal telah dirangka secara mampan agar dapat mengelak dari dampak yang buruk dari musibah tersebut. Insya-Allah, kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak,’’ katanya.
Untuk perbelanjaan pembangunan negara, ujar beliau, selain tumpuan kepada prasarana asas seperti jalan raya, lebuh raya dan bekalan, projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi diteruskan meskipun memberi kesan dan dampak perbelanjaan yang tinggi.
Malaysia, katanya akan memulakan tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean pada 2025 dan menjadi tugas besar bagi negara untuk memimpin Asean apatah lagi kerumitan landskap global saat kini menuntut Asean untuk melakar peranan dan pengarahan baharu.
“Ini ternyata menjadi tugas besar Malaysia tatkala memimpin Asean tahun ini dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yakni membawa seluruh kekuatan, pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin pembangunan ini terus mampan serta mengambil kira mengurangkan jurang perbedaan dan menangani permasalahan yang dihadapi oleh kelompok yang tersisih atau miskin atau terpinggir.
“Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global yang terus mencabar selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya,’’ katanya. – 31 Disember, 2024