Pengasas FashionValet, Vivy dan suami dapat pasport sementara untuk tunai umrah

Pasangan itu akan bertolak ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada 5 Januari ini dan dijangka kembali ke tanah air pada 14 Januari

1:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam pasangan berkenaan, Ashok Athimulan untuk tempoh hari ini dan dikembalikan semula kepada mahkamah pada 15 Januari tahun hadapan.

Pasangan itu akan bertolak ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada 5 Januari ini dan dijangka kembali ke tanah air pada 14 Januari.

“Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport menyukarkan mereka untuk melakukan tempahan dan sebagainya. Anak guam akan mengembalikan pasport kepada mahkamah pada 15 Jan depan,” kata peguam itu, yang dipetik dari Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah perkara itu dan memaklumkan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum tarikh sebutan kes pada 22 Januari depan, namun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Wan Shaharuddin turut bertanyakan kepada Fadzarudin sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dibuat sebelum atau selepas beliau didakwa di mahkamah, Fadzarudin menjawab ia dibuat selepas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Vivy yang memakai baju serba putih bersama suaminya yang mengenakan sut berwarna kelabu, hadir pada prosiding itu.

Pada 5 Disember lepas, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – 31 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related