KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden pesawat Jeju Air terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea, pagi ini.
Menurut Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Malaysia di Seoul kini sedang giat mengumpul maklumat daripada sumber rasmi dan memantau situasi dengan teliti mengenai kejadian tersebut.
“Setakat ini, tiada pengesahan mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra.
Dalam kejadian pada 9.07 pagi ini, sebuah pesawat penumpang Korea Selatan yang membawa 181 orang terhempas di lapangan terbang di barat daya negara itu.
🚨 Tragic Plane Crash in South Korea 🚨
— Scoop (@Scoopdotmy) December 29, 2024
A devastating accident involving Jeju Air flight 7C 2216 has claimed at least 28 lives after the aircraft veered off the runway at Muan International Airport, South Jeolla Province, and crashed into a wall.
The Boeing 737-800, which… pic.twitter.com/iTRGAWfTF2
Agensi Berita Yonhap melaporkan kejadian berlaku ketika pesawat Jeju Air tergelincir dari landasan apabila cuba mendarat hingga melanggar pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Musan di daerah Muan, kira-kira 288 kilometer di barat daya Seoul.
Setakat ini, jumlah kematian telah meningkat kepada 85 orang.
“Ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa dan orang tersayang dalam waktu sukar ini,” menurut kementerian itu.
Wisma Putra dalam pada itu turut mengingatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Seoul.
Untuk bantuan atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Korea Selatan, telefon: +82-2-2077 8600/ +82-10-8974-8699 atau emel: [email protected]. – 29 Disember, 2024